Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti
berikut:
“ Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat
besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau
ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam,
maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan
membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”
2. Pada masa sekarang adakah keselamataan Malaysia terancam?
Maksudnya ancaman bersenjata musuh dari luar atau dalam negara? Jawapannya
tidak ada.
3. Pada masa sekarang adakah kehidupan ekonomi Malaysia
terancam? Maksudnya kilang-kilang pengeluaran ditutup; bank-bank ditutup;
janakuasa elektrik, sistem telekomunikasi runtuh; pengangkutan darat, laut,
udara terhalang; atau pelabuhan-pelabuhan terpaksa ditutup beroperasi.
Jawapannya tidak ada senario sedemikian.
4. Adakah ancaman Pandemik Covid-19 boleh dianggap sebagai
ancaman kepada kehidupan ekonomi? Jawapannya tidak. Pandemik Covid-19 adalah
isu masalah Kesihatan Awam. Langkah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) dan Bidang Kuasa Kementerian Kesihatan di bawah Akta Pencegahan Penyakit
Berjangkit serta Akta Majlis Keselmatan Negara (MKN) sudah mempunyai kuasa yang
cukup untuk menangani Pandemik Covid-19.
5. Rakyat memerlukan dan menuntut Vaksin mencegah penyakit
Covid-19 bukannya Perisytiharan Darurat? Kenapa di negara-negara jiran seperti
Singapuran dan Indonesia, vaksin sudah sampai ke negara mereka dan operasi
suntikan vaksin untuk selamatkan rakyat mereka telah bermula? Kenapa di Malaysia,
vaksin tidak sampai-sampai? Hendak tunggu sampai bila?
6. Apakah penutupan dan penggantungan Parlimen serta semua
Dewan-Dewan Undangan Negeri di bawah Darurat boleh menghapuskan Covid-19?
Adakah Covid-19 takut dengan Parlimen dan DUN-DUN? Jika Coronavirus tidak
kenalpun Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta amalan demokrasi: semak dan
imbang; jadi siapa yang sebenarnya kecut dan takut dengan Parlimen dan
Dewan-Dewan Undangan Negeri?
7. Adakah pada masa sekarang ini ketenteraman awam Malaysia
terancam? Berapa banyak rusuhan berlaku semenjak Kerajaan Perikatan Nasional
pimpinan Muhyiddin Yassin berkuasa? Ada? Tak ada. Berapa banyak mogok-mogok
pekerja seluruh negara semenjak 1 Mac 2020 hingga sekarang berlaku? Ada? Tak
ada. Berapa banyak demonstrasi besar-besaran bersaiz sebesar demonstrasi Bersih
1 hingga Bersih 5 berlaku semasa Kerajaan PKP Muhyiddin berkuasa? Ada? Tak ada.
Adakah rusuhan-rusuhan kaum berlaku dalam tempoh Kerajaan PKP Muhyiddin ini
selama 10 bulan? Ada? Jawapannya tidak ada.
8. Jadi kesimpulannya, tidak ada asas yang kukuh untuk Darurat
seluruh negara diisytiharkan mulai hari ini hingga 1 Ogos akan datang. Oleh
kerana itu adakah Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa sekarang ini sah?
9. Bagi saya, selaku seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh
rakyat dan seorang pengamal undang-undang berpendirian bahawa Proklamasi
Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah tidak sah.
10. "Ampun Tuanku, saya nyatakan pendirian saya secara
jujur dan ikhlas. Tiada niat untuk menghasut atau menderhaka"
11. Tetapi bolehkah perisytiharan yang dibuat oleh Yang
di-Pertuan Agong itu dicabar di Mahkamah undang-undang?
12. Dengan rasa sedih tetapi demi ketelusan dan bersikap luhur,
saya nyatakan apa yang Perlembagaan Persekutuan peruntukan di bawah Perkara 150
(8)(a) dan (b) seperti di bawah ini:
Fasal (8)(a):
“hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal
(1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar
atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan;” dan
Fasal (8)(b):
“tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau
memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk,
atas apa-apa alasan, mengenai kesahan-
(i) Sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu
perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang
dinyatakan dalam Fasal (1); “
11. Kesimpulannya, dari segi undang-undang, peruntukan Perkara
150(8)(a) dan (b) telah menyelamatkan Kerajaan Darurat Perdana Menteri Muhyiddin
Yassin apabila Proklamasi Darurat yang diumumkan semalam 12 Januari 2021 tidak
boleh dicabar di Mahkamah.
12. Tetapi ada satu isu lain yang perlu dibahaskan seterusnya
iaitu adakah Perdana Menteri Mahyuddin Yassin yang mengetuai sebuah kerajaan
minoriti yang tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat boleh
menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat?
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
13 Januari 2021