Sengsara PKP: Muhyiddin, mana bantuan untuk rakyat?

 

Oleh Zamzani Husin

Pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam ternyata mengecewakan rakyat kebanyakan. 

Mereka yang datang dari kelompok B40 adalah golongan yang paling terkesan dengan pengumuman tersebut. Malah golongan M40 juga sedikit sebanyak merasai tempiasnya. 

Apatah lagi mangsa banjir. Masalah yang dihadapi mereka bagai sudah jatuh ditimpa tangga, kini menjelma pula masalah baru dalam bentuk PKP.

Seperti yang ditegaskan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan, pelaksanaan PKP harus diiringi dengan bantuan kewangan. 

Namun pengumuman yang dibuat Muhyiddin semalam tidak memperincikan sebarang bantuan kewangan kepada rakyat yang bakal terkesan dengan PKP ini.

Rata-rata rakyat meluahkan kekecewaan mereka di media sosial. Mereka menuntut supaya syarat pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi I-Sinar dihapuskan dan moratorium pinjaman dilaksanakan semula. 

Walaupun pelaksanaan PKP ini difahami untuk melandaikan semula kes jangkitan Covid-19 di negara ini, namun rakyat yang masih terpaksa meneruskan hidup dengan gaji harian misalnya, harus tetap dibela. 

Atas dasar ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan pengumuman PKP 2.0 ini sebagai lemah malah mengecewakan rakyat kebanyakan. 

Tegas Guan Eng, pengumuman Muhyiddin semalam tidak diiringi langsung dengan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan yang mengalami kesan buruk ekonomi. 

Pakej rangsangan tersebut merangkumi:

  • Kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk kepada penganggur.
  • Pelanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank, tidak termasuk golongan 20% Teratas, sehingga tarikh akhir Perisytiharan Darurat pada 1 Ogos yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.
  • Insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa 2 tahun, di bawah MalaysiaKerja sebanyak RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan untuk mendorong mereka mengambil pekerja tempatan yang dapat mewujudkan pekerjaan bagi 600,000 pekerja Malaysia. Kadar pengangguran meningkat daripada 4.7% kepada 4.8% pada bulan November 2020 ketika PKP Bersyarat dan Pemulihan dilaksanakan.
  • Mendigitalkan pendidikan termasuk membeli komputer riba untuk menyediakan pembelajaran atas talian bagi pelajar yang tidak dapat bersekolah, di mana pelajar hanya menghadiri 4 bulan persekolahan tahun lalu. 
  • Geran kewangan berjumlah RM10 bilion harus diberikan untuk menyediakan talian hayat kepada perniagaan baru dan sedia ada, pinjaman dan pemberian kredit, terutama untuk industri kecil dan sederhana dan industri pelancongan yang lumpuh. Industri pelancongan kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu dan tanpa “sokongan hidup” daripada kerajaan, menghadapi masa depan yang suram.

Situasi ekonomi negara tambah memburuk dengan kadar pengangguran meningkat 0.1 peratus dari 4.7 peratuas kepada 4.8 peratus pada bulan November 2020 semasa PKPB dan PKPP ketika itu.

Sehubungan itu, kerajaan Muhyiddin harus segera mengumumkan bantuan kewangan kepada golongan yang paling rentan ekoran pelaksanaan PKP. 

Jangan sampai timbul cakap-cakap yang mengatakan pelaksanaan PKP dan juga darurat ini hanya untuk menyelamatkan tembolok Muhyiddin Yassin dan konco-konconya yang kini hilang majoriti.

Jika tidak benar dakwaan tersebut, Muhyiddin harus tunjukkan keprihatinan kepada rakyat yang terkesan dan segera umumkan bantuan. Jangan biarkan rakyat terus menanti.