Darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari lalu terus menjadi tajuk perdebatan hangat di media sosial.
Antara ketidakpuasan hati rakyat berhubung perisytiharan tersebut adalah syarat-syarat utama yang membenarkan darurat dilakukan tidak terdapat di Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, realitinya tidak wujud ancaman nyata yang membolehkan darurat dikuatkuasakan.
Beliau memetik perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan; ‘Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.’
“Pada masa sekarang adakah keselamataan Malaysia terancam? Maksudnya ancaman bersenjata musuh dari luar atau dalam negara? Jawapannya tidak ada,” tegas Hassan.
“Adakah kehidupan ekonomi terancam? Maksudnya kilang-kilang pengeluaran ditutup; bank-bank ditutup; janakuasa elektrik, sistem telekomunikasi runtuh; pengangkutan darat, laut, udara terhalang; atau pelabuhan-pelabuhan terpaksa ditutup beroperasi. Jawapannya tidak ada senario sedemikian.
“Adakah ancaman Pandemik Covid-19 boleh dianggap sebagai ancaman kepada kehidupan ekonomi? Jawapannya tidak. Pandemik Covid-19 adalah isu Kesihatan Awam. Langkah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bidang Kuasa Kementerian Kesihatan di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit serta Akta Majlis Keselmatan Negara (MKN) sudah mencukupi untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hassan lagi, rakyat tidak memerlukan darurat sebaliknya menuntut vaksin Covid 19 segera diedar.
Katanya, negara-negara jiran seperti Singapuran dan Indonesia vaksin sudah pun diperolehi dan operasi suntikan untuk menyelamatkan rakyat telah bermula. Kenapakah di Malaysia vaksin masih belum tiba?
Hassan juga mempersoalkan apakah kaitannya penutupan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dengan kempen memerangi Covid 19? Malah kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga, katanya, tidak menghadapi sebarang halangan sepanjang 10 bulan memerintah dan memerangi Covid 19.
“Adakah pada masa ini ketenteraman awam Malaysia terancam? Berapa banyak rusuhan berlaku semenjak PN pimpinan Muhyiddin berkuasa?
“Berapa banyak mogok-mogok pekerja seluruh negara semenjak 1 Mac 2020 hingga sekarang? Berapa banyak demonstrasi besar-besaran bersaiz sebesar demonstrasi Bersih 1 hingga Bersih 5 semasa Kerajaan PKP Muhyiddin berkuasa? Adakah rusuhan-rusuhan kaum berlaku dalam tempoh Kerajaan Muhyiddin? Jawapannya tidak ada.
“Jadi kesimpulannya, tidak ada asas yang kukuh untuk darurat seluruh negara diisytiharkan mulai hari ini hingga 1 Ogos akan datang,” katanya.
Menurut Hassan berdasarkan isu-isu keselamatan, darurat yang diisytiharkan itu diragui keperluannya. Malah beliau mendakwa darurat tersebut berkemungkinan tidak sah di sisi Perlembagaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada apa yang boleh dilakukan dari segi undang-undang mengenai perisytiharan berkenaan berdasarkan Perkara 150 (8)(a) dan (b) yang menjelaskan keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah.
Cuma Hassan menimbulkan persoalan, adakah nasihat darurat boleh diberikan oleh PM Muhyiddin yang hampir tumbang setelah beberapa Ahli Parlimen kerajaan menarik balik sokongan?
“Tetapi ada satu isu lain yang perlu dibahaskan seterusnya, iaitu adakah Perdana Menteri yang mengetuai sebuah kerajaan minoriti yang tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat?” tanyanya.