KPM jangan perjudi nyawa calon SPM

 

Oleh Zamzani Husin

Adun DAP membidas Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilihat gagal menangani kebimbangan penularan wabak Covid-19 di kalangan kira-kira 400,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. 

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata demikian susulan pengumuman Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin bahawa peperiksaan SPM akan tetap diadakan seperti dijadualkan pada 22 Februari meskipun kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat. 

“Saya menggesa KPM untuk melihat kepada faktor keselamatan dan kebolehlaksanaan sebelum membuat sebarang keputusan demi kepentingan generasi akan datang. 

“Kesihatan dan masa depan kira-kira 400,000 pelajar adalah di bawah tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini. 

Beliau justeru mencadangkan KPM mengambil langkah alternatif, antara lain menggunakan keputusan peperiksaan percubaan SPM 2020 sebagai keputusan peperiksaan sebenar. 

“Sekolah yang tidak sempat menghabiskan peperiksaan percubaan harus dibenarkan untuk menghabiskannya,” ujarnya yang juga Pengara Pendidikan Politik DAP Selangor. 

Selain itu, Rajiv turut mencadangkan KPM supaya mengambil kira prestasi keseluruhan akademik pelajar sejak dari tingkatan empat.

Ini bagi memastikan prestasi akademik pelajar cemerlang yang tiada akses internet atau alat peranti yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran atas talian ekoran penutupan sekolah sebelum ini dinilai secara adil. 

“Kaedah ini turut digunakan untuk pelajar Program Matrikulasi 2019/2020,” ujarnya. 

Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong

Sementara itu Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong mencadangkan KPM menggunakan data prestasi peperiksaan percubaan SPM bagi setiap sekolah untuk menilai tahap akademik sebenar pelajar.

“Prestasi peperiksaan percubaan SPM boleh menjadi penunjuk atau indikator yang penting bagi Kementerian Pendidikan dalam membuat sebarang keputusan, sama ada untuk menangguhkan SPM demi memastikan bahawa pelajar tingkatan lima tahun 2020 tidak akan terkorban disebabkan wabak Covid-19,” ujarnya.

Tegasnya yang juga Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan, KPM harus mengutamakan aspek kesihatan, keselamatan dan persediaan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. 

“Tambahan, adakah perlunya kita tergesa-gesa menganjurkan peperiksaan SPM sedangkan kerajaan mengendalikan PKP yang baru untuk memerangi wabak Covid-19 yang makin serius?” ujarnya.




No comments: