Tak terfikir namakan stadium “Kazar Bijan”, sindir Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut sama menyindir isu nama Stadium Mini Ffira Mikah di Padang Terap.
Katanya, beliau sebelum ini terlupa untuk meletakkan nama “Kazar Bijan” pada mana-mana stadium.
“Kenapalah dulu semasa saya PM saya tak terfikir untuk namakan mana-mana stadium di Malaysia dengan nama Greek/Arab “Kazar Bijan”.
“Menyesal sekarang pulak,” katanya dalam nada berseloroh.
Nama “Ffira Mikah” yang mengundang kecaman dan sindiran orang ramai dikatakan adalah ejaan terbalik bagi nama Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor.
Walau bagaimanapun, Hakim Ariff menegaskan nama baharu stadium itu tiada kaitan dengan namanya dan hanya secara kebetulan menyamai nama beliau sekiranya diterbalikkan.
Dia mendakwa ‘Ffira’ bermaksud sesuatu yang hebat dalam bahasa Sepanyol atau Greek manakala ‘Mikah’ dalam bahasa Arab sempena nama malaikat.
Hakim Ariff yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap juga berkata dia bukan mahu mengejar glamor di sebalik penamaan itu.
Menurutnya, nama itu dipilih dan dicadangkan dalam mesyuarat pentadbiran.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sepatutnya nama sebegitu tidak perlu diletak kerana ia mengundang pelbagai persepsi masyarakat.
“Apabila saya dapat tahu, saya sendiri hairan dengan nama itu, kita tidak dimaklumkan mengenai cadangan nama terbabit sebelum ini kerana ia di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Padang Terap (MDPT),” dipetik BH.
Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut sudah dinasihat memilih nama tokoh sejarah di daerah itu atau nama individu yang pernah berjasa yang dianggap sesuai bagi menggantikan nama Ffira Mikah.