Isu persenda Anwar: 14 ketua Pemuda tolak agenda laga pemimpin PKR

 

Kumpulan ketua Pemuda PKR itu berkata mereka berpandangan perkara berkenaan sewajarnya diselesaikan secara berhemah menerusi saluran dalaman parti.

PETALING JAYA: Empat belas ketua Pemuda PKR negeri menolak sebarang agenda melagakan pemimpin parti susulan penularan mesej di aplikasi WhatsApp dikaitkan dengan Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir yang didakwa mempersenda presiden, Anwar Ibrahim.

Kumpulan itu turut mengecam perbuatan membocorkan perbincangan tertutup sehingga mencetuskan suasana tidak menentu dalam parti.

Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata mereka berpandangan perkara berkenaan sewajarnya diselesaikan secara berhemah menerusi saluran dalaman parti.

“Kami percaya perkara ini juga akan dapat diharmonikan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan AMK (MPAMK) Malaysia yang melibatkan semua kepimpinan Pemuda Malaysia bersama ketua-ketua Pemuda negeri.

“Justeru, kami menyeru semua kepimpinan dan anggota Pemuda Malaysia di semua peringkat supaya bertenang dan berlaku adil serta memberikan ruang sewajarnya kepada kepimpinan untuk menjernihkan keadaan,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Ketua Pemuda Selangor Mohd Najwan Halimi, Azam Parap (Perlis), P Prabakaran (Kuala Lumpur), Raymond Ahuar (Sabah), Saifunizam Sam (Sarawak), Mohamed Firdaus Johari (Kedah) dan R Yuneswaran (Johor).

Prasant Kumar Brakasam (Melaka), Muhd Hafiz Muhd Kasasi (Kelantan), Fahmi Zainol (Pulau Pinang), Mohamad Hairul Amir Sabri (Perak), Mohd Mustaqim Abdul Jalil (Pahang), Mohd Hafiz Mohamad (Negeri Sembilan) dan Nazhan Zulkifli Amin (Terengganu).

Baru-baru ini, tular perbualan di aplikasi WhatsApp membabitkan pemimpin PKR termasuk Akmal yang didakwa menyelar Anwar susulan kegagalan Ahli Parlimen Port Dickson itu memiliki majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.