Heroin OKU, wanita dan kanak-kanak ‘missing in action’

 



Oleh Ghafar NS

Sembilan bulan berlalu dan kita masih lagi bergelut dengan krisis ekonomi, Covid-19, juga menjadi saksi pergelutan kuasa.

Paling menyedihkan golongan OKU, wanita dan kanak-kanak masih ternanti-nanti kehadiran heroin mereka.

Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Rina Mohd Harun dan Timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff seolah-olah masih mencari rentak mentadbir dan mengurus kementerian ini walaupun setelah sembilan bulan Langkah Sheraton mengkucar-kacirkan negara serta kehidupan rakyat jelata.

Mereka berdua sepatutnya tampil lebih baik daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Hannah Yeoh dalam mengepalai kementerian yang amat penting buat tiga golongan ini setelah mengkhianat dan melakukan rampasan kuasa hujung Februari lalu.

Namun, cerita-cerita dari Parlimen dan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang ketika sidang dan di luar sidang Dewan Rakyat menunjukkan betapa Rina dan Zailah tidak kompeten dan kementerian yang sepatutnya melindungi hak-hak tiga golongan tersebut seperti anak kucing kehilangan ibunya.

Dalam sidang baru-baru ini pelbagai isu yang dibangkitkan dan memerlukan Menteri KPWKM memberi jawapan. Isu birokrasi permohonan taska untuk ‘frontliners’ yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh gagal dijawab oleh Rina seolah-olah beliau tidak tahu apa-apa mengenai hal tersebut.

Jika ini bukan tanda kegagalannya sebagai Menteri, apa lagi?

Taska untuk frontliners adalah perkara asas dan penting yang wajar disediakan buat memudahkan urusan mereka yang berkhidmat demi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta kita lekas bebas daripada Covid-19. Ketidakpekaan Rina akan isu ini menonjolkan dirinya yang sebenar-benarnya tidak menganggap penting isu berbangkit.

Isu Srikandi Bersatu yang elaun RM1,000 mereka dibayar menggunakan peruntukan Yayasan Kebajikan Negara juga dibangkitkan Hannah dalam Parlimen.

Rina sekali lagi gagal memberi jawapan apabila Hannah mempersoalkan mengapa tiada iklan sukarelawan dimuat naik supaya lebih ramai sukarelawan lain dapat ikut serta dan bukannya Srikandi Bersatu sahaja?

Heroin yang baik adalah yang jujur dan telus dalam menjalankan amanah yang digalasnya. Namun, Rina ternyata bukanlah heroin itu.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching juga baru-baru ini membangkitkan serta mempersoalkan isu hak anak-anak wanita warganegara Malaysia yang lahir di luar negara yang tidak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik seperti mana lelaki.

Diskriminasi dan penindasan terhadap wanita warganegara dan anak-anak yang lahir di luar negara ini dipersoalkan banyak pihak, namun siapakah yang akan membela mereka?

Selain itu, adakah Menteri KPWKM berniat untuk mengaburi mata atau menipu rakyat dengan menyatakan bahawa peningkatan peruntukan KPWKM pada 2021 adalah sebanyak RM700 juta?

Walhal, perbelanjaan KPWKM pada 2020 adalah RM2.472 bilion manakala anggaran perbelanjaan 2021 adalah sebanyak RM2.584 bilion dan ini menunjukkan peningkatan kecil lebih kurang RM100 juta sahaja.

Mengapa Menteri memilih untuk menipu?

Tentu sahaja golongan OKU, wanita dan kanak-kanak pasti bergembira dengan peningkatan peruntukan buat mereka. Namun, biarlah kenyataan Menteri telus dan jujur demi membantu dan memberikan yang terbaik buat tiga golongan ini.

Dalam situasi sukar ini, dengan bilangan kes baharu belum lagi surut empat angka, siapakah yang dapat membela mereka?