Oleh Lim Guan Eng
(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)
Keputusan Fitch Ratings untuk menyemak turun penarafan kredit antarabangsa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Telekom Malaysia Bhd menunjukkan kesan negatif penyemakan turun penarafan kredit negara Malaysia daripada ‘A-‘ kepada ‘BBB+’.
Ini merupakan harga yang perlu ditanggung syarikat-syarikat Malaysia disebabkan penyemakan turun Malaysia, yang disusuli kehilangan keyakinan oleh pelabur.
Namun, rakyat akan menanggung harga yang lebih tinggi jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih terus mengenepikan dua kebimbangan utama yang dikemukakan Fitch, yakni ketidakstabilan politik dan piawaian tadbir urus serta ketelusan yang rendah.
Perdana Menteri harus berhenti mengorbankan kepentingan negara demi survival politik yang mementingkan diri dengan keengganan untuk membenarkan usul tidak percaya di Parlimen bagi menyanggah kepercayaan umum bahawa beliau sudah kehilangan majoriti parlimennya.
Tindakan memilih survival politik peribadi ke atas survival ekonomi negara akan mendatangkan risiko penurunan lanjut penarafan kredit negara di masa depan.
Sekiranya Perdana Menteri masih enggan mengendahkan dua kebimbangan Fitch, cubaan Kementerian Kewangan untuk menangani hutang kerajaan yang kian meningkat melalui konsolidasi fiskal pada tahun depan akan gagal.
Pada penghujung bulan September 2020, keseluruhan pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan RM1.257 trilion, ataupun 87.3% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ini merupakan lebih tinggi daripada yang direkodkan pada zaman kerajaan PH. Hutang persekutuan pada penghujung September berjumlah RM874.3 bilion ataupun 60.7% KDNK.
Namun, Kementerian Kewangan dengan liciknya menggunakan pengiraan had perundangan ke atas hutang persekutuan pada 56.6% KDNK, dan bukan had terkini iaitu 60%.
Defisit tahun ini telah meningkat kepada 6% KDNK dan langkah konsolidasi fiskal tahun depan akan mengurang defisit kepada 5.4%.
Sepatutnya Kementerian Kewangan meningkatkan perbelanjaan melalui pinjaman untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menyelamatkan pekerjaan, perniagaan serta mata pencarian, namun sebaliknya, Kementerian Kewangan telah memilih untuk mengurangkan perbelanjaan pada tahun depan untuk menjaga penarafan kredit negara.
Jelas bahawa langkah konsolidasi fiskal untuk tahun depan ini tidak meyakinkan Fitch.
Ini telah meletakkan ekonomi Malaysia dalam keadaan “sudah jatuh ditimpa tangga”, di mana kerajaan tidak belanja mencukupi untuk rakyat, dan pada masa yang sama tidak mampu meyakinkan pakar penarafan bebas tentang kualiti kelayakan kredit negara kita.
Perdana Menteri sememangnya tahu bahawa penarafan kredit negara kita sebenarnya tidak dapat diselamatkan kerana kegagalan beliau menangani dua kebimbangan politik, iaitu ketidakstabilan politik dan kelemahan tadbir urus.
Justeru beliau sepatutnya meningkatkan perbelanjaan dan pinjaman demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian pada tahun depan.
Beliau patut memperbetulkan hala tuju dan meningkatkan perbelanjaan sebanyak RM45 bilion pada tahun hadapan bagi melindungi pertumbuhan ekonomi, iaitu jumlah yang sama yang dibelanjakan dalam pakej rangsangan tahun ini.