Malaysia semakin ketinggalan, Anwar perlu jadi PM - Yusmadi



Sejak Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinafikan sebagai pengganti Perdana Menteri (PM) buat pertama kalinya pada 1998, Malaysia terus ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang tidak mampu menggilap potensi sebenar negara ini.

 Menurut Senator Yusmadi Yusoff, rakyat harus bertanya kepada diri sendiri di manakah kedudukan negara di pentas dunia hari ini? Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara jiran yang pada 1970an adalah setanding.

 Oleh kerana itu, katanya, suka atau tidak Anwar wajar diangkat sebagai PM untuk memperbaiki sosio-ekonomi negara.

 "Sebab fundametal mengapa Anwar Ibrahim perlu memimpin ialah pertama, selepas 60 tahun merdeka di manakah tahap Malaysia?

 "Awal 1970an, Malaysia, Singapura, Korea Selatan atau Taiwan, kita sama (taraf), 'berdiri sama tinggi duduk sama rendah'

 "Di manakah negara-negara itu sekarang? Taiwan mungkin dua kali ganda kaya daripada kita. Singapura tiga kali lebih kaya. Korea Selatan kita lihat dengan kemajuan (produk) Samsung, Hyundai, universiti mereka segala macam, di manakah Malaysia?

 "Saya melihat di sini isunya adalah kepimpinan. Bagi saya Malaysia dianugerahkan kedudukan geo-politik yang sangat strategik. Ditakdirkan berada di Selat Melaka. Negara dari Timur dan Barat mahu tempat ini. Tanpa kita berusaha pun orang mahu datang

 "Kedua, hasil negara. Mana ada negara yang penduduk 32 juta ada hasil minyak, ada balak, pertanian dan juga modal insan (tiga bangsa sebagai rakyat)," katanya dalam forum 'Jom Ngeteh' bersama moderator Prof Datuk Seri Dr Alex Ong, baru-baru ini.

 Bagi Yusmadi, Malaysia yang memiliki kaum dari tiga tamadun besar dunia seharusnya menjadi negara paling cemerlang di Asia Tenggara.

 Namun akibat tiada kepimpinan yang bijaksana, kata beliau, negara ini gagal menggilap kegemilangannya.

 "Saya pergi ke Timur dan Barat dunia. Melihat modal insan Malaysia, di satu tempat ada semua kaum. Apa maksudnya?

 "Orang Cina pandai berniaga, India pandai bidang profesional, Melayu dari segi kebudayaan, pelbagai. Sekiranya ada seorang pemimpin yang boleh menggarap anak bangsa ini maka akan terbentuk satu kekuatan membina negara.

 "Selain itu, Anwar merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh diterima di Timur dan Barat. Dia diterima di dunia Islam dan bukan Islam. Dia boleh diterima pelbagai bangsa.

 "Malaysia pula adalah satu-satunya negara dunia yang mana (bangsa dari) ketamadunan utama dunia berinteraksi, bermuafakat. Bayangkan hari ini Anwar dengan latar belakang pelbagai ini dan dapat mengarap (kepelbagaian)

 "Dengan agenda masyarakat Madani, iaitu kepelbagaian yang berteraskan agama. (Malaysia mungkin boleh jadi), sama macam di Sepanyol, (tamadun) Andalusia," katanya.

 Malangnya, menurut Yusmadi lagi, Malaysia sebaliknya dibebani masalah struktur dan rule of law. Terdapat dua set undang-undang berbeza antara rakyat dan pemimpin yang mana menakutkan pelabur untuk menanam modal.

 "Malaysia ini masalahnya struktur. Maksudnya Malaysia memerlukan kepimpinan yang mampu membawa tatakelola atau tadbir urus yang betul. Ada rule of law. Memberi kebebasan rakyat dengan betul.

 "Jika hari ini menteri kena hukuman lain, rakyat biasa lain, kalau saya jadi pelabur saya tidak mahu bawa duit ke sini. Nanti kalau saya ada masalah saya akan dizalimi. Saya bukan menteri," katanya lagi.

 Yusmadi juga mengingatkan pihak-pihak yang tidak yakin terhadap kepimpinan Anwar agar bermuhasabah.

 Pengiktirafan yang diterima Anwar seperti Menteri Kewangan terbaik, pemimpin ulung Islam dan sebagainya bukan dianugerahkan oleh rakyat Malaysia, sebaliknya diberi oleh masyarakat dunia. Dan tidak ada pemimpin Malaysia lain yang diberi pengiktirafan sedemikian rupa sebagaimana Anwar.

 


No comments: