SORRY SYED SADDIQ, BAIK MUHYIDDIN SAJA YANG DIGESA BERHENTI....


 Susulan Covid-19 yang melanda semula negara, Pengasas Parti Muda atau Ikatan Demokratik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara lain mencadangkan agar perebutan kuasa dihentikan segera.

Kata Ahli Parlimen Muar itu, perebutan kuasa hanya akan menyebabkan rakyat terus menderita dan sengsara.

Walaupun beliau turut mencadangkan dua perkara lain iaitu tiada PRU atau PRN dalam tempoh terdekat ini dan pihak kerajaan serta pembangkang mesti duduk semeja untuk mencari penyelesaian bersama, perhatian tentunya kepada cadangannya yang pertama itu.

Gesaan berhenti berebut kuasa itu secara langsung bermakna ia ditujukan kepada Anwar Ibrahim yang pada 23 September lalu mengumumkan beliau telah mempunyai cukup sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen untuk memgambil alih kerajaan.

Dalam erti kata lain, bila gesaan itu dibuat seolah-olah Syed Saddiq mahu Anwar menarik balik rancangannya mahu mengambil alih kerajaan dan membiarkan Muhyiddin Yassin terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Ehhhhh…..

Sambil menghormati gesaan beliau itu, tetapi dengan penuh hormatnya dimaklumkan bahawa cadangan tersebut tidak dapat diterima sama sekali.

Ini kerana usaha Anwar mengambil alih kerajaan ini sudah hampir sampai ke garisan penamatnya iaitu hanya menunggu majlis mengadap Yang Dipertuan Agong saja lagi.

Dari segi jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen, sebagaimana yang disebut Anwar, ia bukan saja mencukupi, malah bilangannya kukuh dan meyakinkan.

Maka itu, menggesa ia dihentikan, sedangkan obor kemenangan sudah hampir ke titik penyudahnya, ia tentulah sesuatu yang tidak masuk akal.

Lainlah jika Anwar masih tidak mempunyai sokongan yang mencukupi.

Tambahan lagi, usaha ke arah itu sudah lama diusahakan dan salah satu tujuan utamanya pun adalah untuk lebih membela dan menjaga rakyat yang sedang menderita ketika ini.

Contoh mudah, dalam isu melanjutkan moratorium pinjaman bank misalnya, meskipun banyak gesaan agar ia dilanjutkan lagi, setidak-tidaknya selama tiga bulan lagi, tetapi Muhyiddin langsung tidak peduli dengannya.

Ini memberi gambaran Muhyiddin tidak mahu membela rakyat yang ramai ketika ini sedang dalam kesempitan, tiada pendapatan dan hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Apabila Perdana Menteri sudah hilang sentuhan dan kepedulian terhadap derita rakyat, menukarnya sudah tentu tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Apa lagi dengan sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan yang dimiliki Anwar untuk menolak Muhyiddin, bererti Perdana Menteri sudah hilang sokongannya.

Demikian itu, gesaan berhenti atau #PauseMalaysia adalah tidak dapat diterima.

Majoriti rakyat sendiri ketika ini sedang ternanti-nanti munculnya sebuah kerajaan baru yang lebih baik daripada PN yang caca-marba ini.

Untuk itu, usaha menukar kerajaan mesti diteruskan dan tidak boleh dihentikan, kalau ada pun yang patut berhenti adalah Muhyiddin itu sendiri kerana beliau sudah tiada lagi sokongan.

Malah, kalau Muhyiddin sedia berhenti dengan baik untuk memberi laluan kepada Anwar mengambil alih tempatnya, dua cadangan lain daripada Syed Saddiq juga tidak perlu dibangkitkan lagi.(Shahbudindotcom 07/10/2020)

No comments: