Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyeru kepada rakyat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan
semua peraturan sedia ada dalam memerangi wabak COVID-19.
Presiden KEADILAN itu
berpandangan hanya dengan pematuhan berterusan dan menyeluruh dapat membantu
petugas barisan hadapan mengekang wabak COVID-19 daripada terus berleluasa.
"Situasi semasa pandemik
COVID-19 ternyata membimbangkan. Saya amat berharap dan menggesa semua rakyat
Malaysia untuk bersatu dan tingkatkan disiplin serta amalan kebersihan.
"Beri dukungan kepada
barisan hadapan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan sedari awal. Ini sahaja
jalan dalam usaha menumpaskan wabak ini," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen
Port Dickson turut meluahkan rasa simpatinya terhadap rakyat yang kehilangan
ahli keluarga kerana menjadi mangsa korban COVID-19.
"Saya terkesan dengan
mangsa korban COVID-19 semalam yang turut melibatkan seorang bayi berusia
setahun. Ini sangat menyayat hati tatkala keluarga tidak dapat menatap dan
mengucup untuk kali terakhir.
"Takziah saya kepada
keluarga semua mangsa korban COVID-19. Saya berharap kita akan terus kuat
semangat dan bersatu melawan wabak ini," katanya.