KEMASKINI: Gabungan Parti Sarawak, PBS ‘king maker’ jika dakwaan Anwar benar, kata penganalisis

Willie Jude

 -
Seorang penganalisis tidak nampak kegunaan Anwar Ibrahim dalam usaha Umno untuk kembali menjadi parti dominan.

KOTA KINABALU: Gabungan Sarawak dan sebuah parti Sabah sekali lagi bakal jadi penentu atau “king maker” sekiranya benar Anwar Ibrahim mendapat sokongan secukupnya untuk mengambil alih kerajaan, kata seorang penganalisis walaupun meragui kebenaran dakwaan itu.

Lee Kok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata apatah lagi selepas melihat nama wakil-wakil rakyat yang dikaitkan dengan dakwaan itu, seperti yang tersebar baru-baru ini.

“Kita tahu pendirian politik mereka,” katanya kepada FMT. “Bagaimanapun, jika ia berlaku, Gabungan Parti Sarawak dan PBS akan sekali lagi menjadi ‘kingmaker’.”

Jelasnya, GPS dan PBS boleh jadi penentu kerana “sokongan antara Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan terbahagi hampir sama, dan GPS dan PBS bukan sebahagian daripada PN.”

Tambahnya, GPS dan PBS ragu-ragu tentang menyertai PN dan mahu lebih bebas dalam berpolitik.

Lee juga tidak meyakini dakwaan Umno akan menyokong presiden PKR itu, mengatakan beliau tidak nampak kegunaan Anwar dalam usaha Umno untuk kembali menjadi parti dominan, seperti yang orang ramai sedia maklum.

Beliau menambah kesetiaan sebenar ahli-ahli Parlimen Umno yang dikatakan menyokong ahli Parlimen Port Dickson itu bukanlah rahsia.

Lee Kok Tiung.

“Apa ertinya mereka tiba-tiba menyokong Anwar daripada Muhyiddin (Yassin) sebagai perdana menteri sehinggalah pilihan raya umum ke-15? Jika ia benar, pasti ada udang sebalik batu,” katanya.

Baru-baru ini, Anwar mengumumkan mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli Parlimen pelbagai parti, termasuk daripada pihak pemerintah.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata dakwaan itu hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara pula berkata tidak menghairankan ada pihak akan mengambil kesempatan ke atas keadaan politik yang agak bercelaru ketika ini.

Sehingga kini, katanya, dakwaan Anwar masih belum terbukti dan “ia membuatkan rakyat semakin hilang keyakinan”.

“Tambahan pula peningkatan kes Covid-19 menyebabkan isu politik atau persaingan kuasa menjadi perkara kurang penting tetapi lebih menjurus kepada pentadbiran negara dalam menangani hal berkenaan.”

PBS, atau Parti Bersatu Sabah, mempunyai seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat, manakala GPS mempunyai 18 wakil rakyat.

PKR pula mempunyai 38 ahli Parlimen, dengan sokongan 42 wakil rakyat DAP dan 11 wakil rakyat Amanah.



No comments: