Setelah 7
bulan kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) mengambilalih pemerintahan,
masih belum dilihat tanda-tanda pembelaan ke atas kaum Melayu berjaya
dilakukan.
Bagi
Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina
Siddiq, kerajaan PN kelihatannya tidak mengotakan janji yang dibuat ketika sebahagian
menteri yang ada pada hari ini masih sebagai pembangkang.
Seusai
Pilihan Raya Umum ke 14, katanya, mereka memburuk-burukkan dasar kerajaan
Pakatan Harapan (PH) kononnya pro DAP dan anti Melayu, namun selepas berjaya
memerintah tiada pun polisi khas ekonomi, pendidikan atau sosial Melayu yang
boleh dibanggakan.
"PN
kerajaan status quo. Mereka tidak ada dasar-dasar baru lebih baik daripada PH.
"Dalam
keadaan sekarang kepimpinan PN langsung tidak stabil, tidak ada jaminan bahawa
Melayu akan lebih baik di bawah mereka.
"Sebaliknya,
kita dalam PH konsisten (memperjuangkan) keadilan kepada semua pihak. Inilah
komitmen yang kita putuskan bersama
"Itulah
beza PH berbanding PN. Kerana proses rundingan komitmen ini kita bina sejak
bertahun-tahun. Bukan kerana keputusan politik, semata-mata untuk mendapatkan
kerajaan," katanya kepada Suara Keadilan.
Oleh itu,
Fadhlina menyifatkan retorik memartabatkan Melayu yang dihamburkan Umno dan Pas
sebelum ini adalah hipokrit dan bertujuan hanya untuk menjatuhkan PH.
Sedangkan,
ahli-ahli politik kedua-dua parti tersebut tidak berminat pun untuk menangkat
Melayu ke satu tahap yang lebih baik.
"Itulah
namanya politik (hipokrit), semua benda yang ada nilai atau faktor yang boleh
memperlihatkan sesuatu pihak itu tidak mampu untuk tangani isu, maka
dipolitikkan isu tersebut," katanya lagi.
Menurut
Fadhlina yang menyertai KEADILAN beberapa bulan lalu, beliau lebih teruja
dengan perjuangan parti itu yang kelihatan majmuk. Tidak menyebut pembelaan
kepada satu-satu kaum namun di negeri yang ditadbir PH misalnya, banyak
skim-skim bantuan berjaya diwujudkan dan membantu mengangkat kualiti hidup
rakyat.
"Untuk
ke hadapan, isu yang menguji perpaduan kita mesti tegas. Ambil pendekatan tegas
(ke atas) faktor yang boleh menggugat kestabilan keseluruhan masyarakat dan
negara.
"Saya
yakin dengan KEADILAN kerana ia parti merentas kaum, ras bangsa dan agama. Yang
kita percaya secara idealnya parti yang boleh menerajui dan boleh membawa isu
perpaduan secara real.
"Cuma
kita kena ambil maklum kalau betul (sesuatu) isu (kaum) itu menggangu kita dari
segi kuasa, pembuat dasar atau pembahagian ekonomi adil.
"Kena
ada kesediaan untuk berbincang dengan jiwa besar dan terbuka. Namun (hal utama)
kita jangan tunduk kepada provokasi," katanya.
Menurut
Fadhlina lagi, perkauman sewajarnya tidak menjadi isu besar dalam masyarakat
yang telah bersama sejak merdeka pada 1957.
Malah,
katanya kebanyakan isu-isu di Malaysia melibatkan jenayah, sosial dan pekerjaan
tidak bertitik-tolak kepada perkauman tetapi sering disalah tafsir oleh
pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai kepentingan.