KRONI SIAPA DAPAT PROJEK RUNDING TERUS ERA KERAJAAN PH?


Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan di Parlimen, sejumlah 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
“Semasa pentadbiran sebelum ini sejumlah 101 projek ataupun perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan,” ujar beliau.
Bukan di Parlimen jadi gempar dengan pendedahan ini, malah semua orang yang mendengar pun akan jadi terkejut dibuatnya.
Pendedahan ini sesuatu yang amat mengejutkan kerana ketika itu, PH amat lantang dan tegas dengan janji untuk melaksanakan tender terbuka secara menyeluruh.
Ia digambarkan sebagai kaedah ketelusan dan untuk mengelakkan salah guna kuasa.
Malah, ketika kempen PRU14 pun, itulah antara perkara yang dilaungkan kepada rakyat untuk menunjukkan bahawa PH amat mementingkan ketelusan jika diberi kuasa mentadbir negara.
Sudah tentu agak menghairankan bagaimana akhirnya sebanyak 101 projek bernilai lebih RM6 bilion telah diluluskan secara runding terus?
Siapakah punya angkara semua ini?
Kenapakah 101 projek itu tidak dilaksanakan secara tender terbuka?
Apakah ia juga keputusan seorang diri Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng atau beliau mendapat arahan daripada pihak lain seperti Perdana Menteri atau permintaan daripada menteri-menteri lain misalnya?
Maka itu, demi keadilan kepada semua pihak, khususnya Guan Eng, adalah penting untuk Tengku Zafrul mendedahkan senarai syarikat-syarikat yang diberikan 101 projek runding terus itu.
Ini bagi kita semua mengetahui kroni siapakah semua syarikat yang bertuah itu dan atas asas apakah kaedah runding terus dijadikan pilihan?
Selain itu, penting juga untuk diketahui adakah mereka itu kroni Guan Eng atau kroni menteri-menteri lain dalam PH ketika itu yang sebenarnya mereka mungkin terbabit sama melobi Menteri Kewangan agar projek secara runding terus dilaksanakan?
Oleh kerana Tengku Zafrul telah membuka ruang mendedahkan perkara ini, adalah menjadi tanggungjawab beliau juga untuk memastikan senarai syarikat-syarikat itu diumumkan kepada orang ramai dengan seberapa segera.
Jangan pula nanti beliau cuba mengelak atau tidak berani mengeluarkan senarai penuh dan akhirnya isu ini senyap begitu saja.
Manalah tahu, entah-entah kroni pemimpin tertentu UMNO pun mungkin termasuk sama dalam senarai 101 projek itu? (Shahbudindotcom 24/08/2020)

No comments: