‘Game changer’ dan politik emosi Melayu siri 1


Oleh: Redzuan Shamsudin




Politik kaum Melayu tidak banyak berubah sejak 30 tahun lalu. Apabila Parti Melayu Semangat 46 (S46) ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) untuk melawan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1988, kaum Melayu tenggelam dalam politik emosi menuju pilihan raya umum (PRU) 1990.

Isu yang dimainkan ketika itu adalah menolak kebejatan keputusan Pemilihan Agung Umno 1987 sehingga beberapa pemimpin utama seperti Ku Li, Rais Yatim, Rahmah Osman dan lain-lain tersingkir sebaik sahaja Umno diharamkan. Pemimpin S46 bertekad mewujudkan sebuah parti yang lebih bersih memperjuangkan masa hadapan orang Melayu. Banyaknya ahli Umno yang meninggalkan parti sepanjang 1988-1989 menjadi modal kempen bahawa BN perlu dijatuhkan pada PRU 1990.

Bagaimanapun lima tahun setelah gerakan penuh emosi itu dilancarkan, kemarahan orang Melayu reda. Manakala setahun selepas PRU 1995, S46 bubar dan para pemimpinnya menyertai Umno secara en block.

Lakukan game changer

Hal yang hampir sama berulang pada 1998 apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno atas tuduhan Fitnah I. Kemudian beliau didakwa secara menyalahgunakan institusi kehakiman dengan bukti-bukti yang direkayasa.

Kaum Melayu bangkit membela Anwar. Gerakan Reformasi mendapat sambutan hangat tidak kira di bandar mahu pun desa. Keputusan PRU 1999 menjadi cerminan penentangan Melayu terhadap kezaliman. Biarpun hanya Kelantan dan Terengganu yang berjaya ditawan namun undi popular kaum Melayu kepada Barisan Alternatif amat tinggi, sekitar 60%.

Anwar dianggap berjaya melakukan game changer pada PRU 1999 biar pun politik emosi Melayu tidak bertahan lama. Pada PRU Mac 2004, BN yang dikepalai PM Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) berjaya menundukkan pembangkang apabila menguasai 198 daripada 222 kerusi parlimen. KEADILAN terpukul teruk dengan hanya Presiden Dr Wan Azizah satu-satunya Ahli Parlimen yang menang. Ternyata politik emosi Melayu kali ini bertahan sekitar 6 tahun.

Kekalahan pada PRU 2004 itu bagaimanapun membuka laluan kepada pembebasan Anwar pada 2 September tahun yang sama. PM Pak Lah tidak melihat KEADILAN sebagai cabaran dan Anwar dianggap telah hilang bisa mendekam lebih 5 tahun di Sungai Buloh.

Anggapan Pak Lah meleset, pada 2006 Anwar melakukan come back dengan pelbagai naratif kempen. Salah satu yang berkesan ialah kejayaan beliau menyatukan Pas dan DAP di atas satu pentas dan membuka laluan kepada pertandingan satu lawan satu di seluruh negara pada PRU 2008.

Anwar melaksanakan misi dengan baik pada PRU ke-12 sehingga BN tersungkur di Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Buat pertama kali BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen. Kaum Melayu memberi sokongan melebihi 40% kepada Pakatan Rakyat (PR). Emosi mereka dibakar seputar isu rasuah dan good governance.

Percaturan rebut kuasa

Namun di kem BN, pesaing Anwar, Dr Mahathir mula melihat game changer dan politik emosi adalah satu-satunya resepi percaturan merebut kekuasaan. Beberapa bulan selepas keputusan mengejut PRU 8 Mac itu, Mahathir mula menghasut orang Melayu.

Beliau berkempen ke bahagian-bahagian Umno di seluruh negara menghebahkan isu Pak Lah pemimpin lemah. Emosi ahli-ahli Umno dibakar. Kem Pak Lah berusaha keras agar bahagian-bahagian Umno menolak serangan bekas PM ke 4 itu. Usaha Mahathir disekat pelbagai rintangan. Bekas PM itu bertindakbalas dengan taktik merajuk dan mengumumkan keluar parti. Strategi tersebut berjaya membuat Umno bergolak. Pemimpin pro Mahathir kemudian menyediakan jalan keluar kepada Pak Lah pada 2009. Mereka melorongkan timbalannya Najib Tun Razak mengambilalih teraju kuasa.

Di pihak PR, menjelang PRU 2013 politik emosi tidak banyak diguna ke atas orang Melayu. Anwar tidak berminat dengan isu-isu perkauman acuan Umno. Beliau mengemukakan idea keseimbangan ekonomi, membantu Melayu tetapi tidak menganaktirikan kaum-kaum lain. Anwar mengumumkan politik nilai menggantikan politik rasis yang menjadi senjata parti-parti dalam BN mempertahankan kuasa.

Kaum Cina sambut perubahan

Usaha Anwar membuahkan hasil. Tsunami PRU 2013 menunjukkan kaum Cina yang lebih rasional memberi 90% undi kepada PR. Sementara undi Melayu hanya sekitar 40%. Politik emosi kurang berjaya untuk memastikan PR menjadi pemerintah.

Apa pun keputusan itu memberi pengajaran kepada Pas bahawa politik emosi penting untuk survival gerakan Islam. Pas yang pada ketika itu telah mempunyai keahlian sekitar 1.1 juta mula berkira-kira bergerak sendirian apabila pemimpin spiritual mereka, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 2014. Pada 2015 Pas menarik diri dari PR dan menggunakan politik emosi memesongkan pemahaman penyokong bahawa Umno lebih baik berbanding DAP atau KEADILAN.

Umno diuar-uar akan membantu Pas menegakan hukum Hudud di Kelantan dan Terengganu dengan meminda Rang Undang-undang 355. Dibakar kepercayaan songsang, penyokong fanatik Pas sanggup mengkafirkan rakan-rakan mereka yang dilabel Anwarinas dan meninggalkan perjuangan parti itu bagi membentuk Parti Amanah Negara.

Takfir tidak setakat memangsakan AMANAH malah terlajak menyentuh KEADILAN apabila Datuk Seri Dr Wan Azizah dijadikan bahan sendaan dalam ceramah Pas, kononnya jika meninggal dunia jasad beliau harus disemadikan di jirat Cina.

Politik emosi berleluasa dimainkan parti Islam itu dalam kalangan Melayu pada 2015 - 2016. Di pihak Umno pula, kesilapan dilakukan oleh PM Najib Razak apabila memecat timbalannya Muhyiddin Yassin dan menggantung keanggotaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Datuk Seri Shafie Apdal. Pada perkiraan Najib apabila Pas menjadi sekutu belakang tabir memecahkan undi dalam PRU 14, tidak ada apa yang boleh menggugat BN untuk mencatat kemenangan besar.

Beliau gagal membaca kebangkitan Dr Mahathir mempersoalkan isu kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad sehingga melenyapkan berpuluh bilion ringgit wang negara. Kegelabahan Najib menggulingkan Mukhriz dari jawatan Menteri Besar Kedah menjadi punca Mahathir terjun kembali sebagai pemain utama politik.


No comments: