Permohonan lantikan En Ikmal Hazlan Bin Ikmal Hisham sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad melalui surat sokongan yang tular mutakhir ini, dipercayai mempunyai pertalian darah dengan Timbalan Menteri Pertahanan dilihat menyerlahkan lagi kerakusan nepotisme ‘Kerajaan Abah’.
Pemuda AMANAH Nasional dalam kenyataannya memandang serius dan mengutuk cadangan pelantikan melalui jalan tidak bermoral seperti ini.
Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata jika perkara ini benar-benar telah menjadi budaya dalam ‘Kerajaan Abah’, ianya suatu malapetaka besar ketika negara bakal menyambut ulangtahun ke-63 kemerdekaan, yang hakikatnya belum lagi benar-benar merdeka daripada rasuah dan nepotisme.
Beliau percaya tidak hanya menjadi pertikaian dari segi ketelusan dan tatakelola yang baik (good governance), bahkan dikhuatiri bakal menyumbang kepada penyalahgunaan kuasa yang serius terhadap institusi kerajaan yang berasaskan perniagaan.
“Lebih memualkan, wujudnya minit pada surat berkenaan yang dipercayai daripada Menteri Pertahanan sendiri.
“Tulisan “Pengerusi LTAT, saya setuju” sangat jelas merupakan satu arahan. Dimanakah malu para pemimpin kerajaan ini?
“Kalau pun tidak segan dengan rakyat yang terang-terangan kamu khianati amanah mereka tempoh hari, simpanlah sedikit rasa malu itu dengan penjawat awam yang 8 jam sehari bekerja dengan kamu,” katanya.
Isu ini dilihat hakikatnya bukan isu terpencil dan terhad kepada satu dua individu sahaja.
Katanya, beberapa minggu lepas sahaja umum telah didedahkan perihal calon ketua pemuda yang juga timbalan menteri menawarkan surat sokongan sebagai timbal balas atas undian kepadanya.
“Ia seakan simptom kepada barah yang sudah meluas di dalam ‘body politic’ kerajaan.
“Lantas kami mendesak agar ‘tukang minit’, Menteri Pertahanan serta Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang dikaitkan sebagai bapa kepada penama yang disebutkan dalam surat yang tular itu tampil memberikan penjelasan,” katanya.