PINDA PERLEMBAGAAN UNTUK AZMIN KUASAI BERSATU?


Walau apa alasan dan hujah sekali pun, keputusan yang diumumkan oleh Muhyiddin Yassin untuk membuka Bersatu kepada bukan Melayu, tujuan utamanya adalah bagi memenuhi keperluan politik Azmin Ali.
Dalam pemgumumannya, Muhyiddin berkata, dengan pindaan perlembagaan Bersatu ke arah itu, bukan Melayu bukan saja boleh menjadi ahli, malah memegang jawatan utama dalam parti.
Azmin yang merupakan bekas Timbalan Presiden PKR mengumumkan penyertaannya ke dalam Bersatu semalam dengan anggaran kira-kira 200 ribu orang akan mengikutinya menyertai parti itu.
Siapakah mereka yang 200 ribu itu?
Tak kira sama ada 200 ribu itu merupakan bekas ahli PKR atau daripada kalangan yang belum pernah menyertai mana-mana parti, tetapi sebahagiannya sudah tentu merupakan bukan Melayu yang merupakan lembah pergaulan politik Azmin sejak 1998 lagi.
Tanpa Azmin menjanjikan pertambahan keahlian sebanyak 200 ribu itu, adalah mustahil Bersatu sedia meminda perlembagaannya.
Lagi pula, Muhyiddin adalah pemimpin yang sejak dulu berpegang kepada falsafah perjuangan “Melayu dahulu, Malaysia nombor dua”.
Makanya, mahu tidak mahu, Muhyiddin sebenarnya telah tunduk kepada kehendak politik Azmin melalui persetujuannya membuka ruang penyertaan dan memegang jawatan kepada bukan Melayu dalam Bersatu.
Persoalan lain ialah kenapa Azmin mesti menyertai Bersatu bersama penyokongnya dan tidak berani membuka sebuah parti baru pelbagai kaum?
Kalau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun ada keberanian menubuhkan parti baru untuk anak-anak muda, mengapa Azmin mesti takut melakukan hal yang sama?
Jika Azmin berani mengkhianati PKR, PH, Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamad, apakah keberanian beliau sebenarnya hanya dalam bentuk yang negatif saja?
Apa pun, dengan kedudukan Bersatu yang terbuka selepas ini, apakah mereka seperti Tian Chua dan lain-lain pemimpin bukan Melayu daripada PKR akan beralih arah dan akan diangkat menjadi pemimpin dalam Bersatu pula?
Sediakah pemimpin dan ahli Bersatu sedia ada menerima mereka itu?
Yang lebih menarik, hanya sehari selepas penyertaannya ke dalam Bersatu, Timbalan Presiden parti itu, Ahmad Peja Azumu mencadangkan agar Azmin dilantik sebagai Naib Presiden Bersatu.
Woww….cepatnya nak diberikan jawatan?
Selepas diberikan jawatan nanti itu, tidak mustahil Azmin akan mula menyusun kartel-kartelnya di dalam Bersatu sebagaimana beliau melakukannya di dalam PKR dahulu.
Ketika itu nanti, pastilah ramai pengikut dan penyokong akan diberikan kedudukan di dalam Bersatu, termasuk mereka yang bukan Melayu.
Apakah ini bermakna Azmin bakal menguasai Bersatu atau memang Muhyiddin mahu menyerahkan teraju kepimpinan parti kepada bekas Timbalan Presiden PKR itu selepas ini? (Shahbudindotcom 24/08/2020)

No comments: