‘Game changer’ dan politik emosi Melayu siri 2



Beliau keluar Umno kali kedua. Kali ini emosi orang Melayu dibakar habis-habisan. Game changer dibuat pada hujung 2016 dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menggantikan Umno. Kempen bermati-matian Mahathir pada 2017 meraih simpati ahli Umno di luar bandar dan kawasan Felda.

Game changer berlaku sekali lagi apabila Bersatu menyertai PH pada hujung 2017. Mungkin ramai masih ingat jasa Nurul Izzah dalam percaturan PH sehingga terbentuknya gabungan berkenaan. Juga jasa Rafizi Ramli dalam rundingan pembahagian kerusi pada Januari 2018. PH muncul sebagai pakatan politik paling padu dan berpotensi menang sebaik sahaja berjaya mengumumkan calon PM dan TPM pada 8 Januari. Langkah seterusnya adalah sejarah. Gabungan ini berkempen mengelilingi Malaysia mengumpul puluhan ribu rakyat pada satu-satu lokasi ceramah.

Berbanding kemaraan PR pada 2013 yang tertumpu di bandar dan sub bandar, kemaraan PH tembus ke kawasan pedesaan. Sambutan yang diterima dalam ceramah-ceramah di kampung-kampung di Segamat, Muar dan Batu Pahat misalnya menggambarkan keruntuhan kubu Umno yang tidak boleh dielakkan. Biar pun undi Melayu pecah tiga di antara Bersatu, Umno dan Pas tetapi 1/3 undi kaum itu dipastikan pergi kepada PH manakala undi Cina serta India yang lumayan membantu merampas Putrajaya. Keputusan PRU 14 menunjukkan emosi mendominasi politik Melayu.

Langkah Sheraton pencetus kedua

Namun politik emosi tidak berakhir pada 2018. Pasca pengkhianatan Langkah Sheraton sekali lagi menyaksikan Mahathir menggunakan skil yang sama, meraih simpati ahli Bersatu bahawa beliau dikhianati Muhyiddin; membiarkan diri dan penyokongnya melakukan kesalahan untuk dipecat dari parti; membawa kes pemecatan ke mahkamah biar pun boleh menjangka keputusannya dan terakhir melancarkan Parti Perjuang Tanah Air, persis kemaraan Bersatu pada 2017 – 2018 lalu.

Sebaik sahaja Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu pada awal Ogos 2020 secara sistematik berpuluh-puluh cawangan Bersatu diisytihar bubar, Ketua Cawangan meletak jawatan, ketua Armada keluar parti, bekas calon-calon Bersatu mengucapkan selamat tinggal, termasuk seorang ADUN meninggalkan Bersatu di Selangor. Meskipun Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin mengumumkan ‘10 keluar 20,000 masuk Bersatu’, namun hakikatnya parti itu tertekan akibat menipisnya dukungan akar umbi.

Hamzah yang sebelum ini didakwa berusaha memujuk pemimpin KEADILAN membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu pasti akan menghadapi jalan buntu menuntut 50 kerusi Parlimen dari Muafakat Nasional untuk dipertandingkan. Apabila semakin banyak ahli Bersatu keluar maka sudah tentu Umno mempunyai alasan tidak memberi kerusi yang banyak kepada parti itu.

Pada pertengahan Ogos, Presiden Pas Haji Hadi berkata pembahagian kerusi di peringkat DUN dan Parlimen dalam PN telah 50% selesai. Tentunya pembahagian seterusnya bakal mengkesampingkan Bersatu yang boleh diramal akan kalah teruk dalam PRU 15 tanpa jentera kempen yang berkesan.

Senario PRU 15

Bagaimanakah senario PRU 15? Dijangkakan keadaan tidak banyak berubah berbanding PRU 14 lalu dengan parti-parti yang bersaing juga hampir sama. Cuma game changer yang dilakukan Mahathir mungkin menyebabkan parti Bersatu hanya tinggal lapisan pemimpin atasan dan kehilangan anggota akar umbi.

Dalam Pas pula, berlaku arus perubahan apabila sebahagian ahli merasa tertipu selepas Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan mendedahkan usaha bekerjasama dengan Umno bermula pada 2015. Paku yang lebih keras tentulah pengakuan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki yang mengesahkan gerakan ke arah kerjasama dirancang sejak 2011 lagi, ketika Tok Guru Nik Aziz Nik Mat masih hidup. Dapat dilihat reaksi kecewa ahli Pas yang merasa tertipu dengan penegasan pemimpin mereka sebelum ini kononnya tidak terfikir untuk bersama Umno.

Lebih memilukan, disebabkan penafian itu para walaon sanggup mengkafirkan kawan-kawan yang beralih wadah perjuangan ke AMANAH dengan alasan enggan bersekongkol menyokong Umno. Hari ini terbukti bekas-bekas pimpinan Pas itu berada di pihak yang benar. Adakah Melayu yang pantang ‘ditipu hidup-hidup’ akan memberontak terhadap pemimpin Pas?

Terserah kepada PH dan Mahathir untuk memainkan politik emosi seterusnya menggempur pertahanan PN yang semakin rapuh. Sekiranya pembangkang melakukan game changer bergerak dalam satu gabungan seperti pada 2017 lalu, dengan Bersatu dan Pas yang bermasalah, tidak mustahil PRU 15 milik PH Plus.

Orang Melayu pada ketika ini teruja melihat penghijrahan keluar pemimpin dan ahli Bersatu. Dalam masa beberapa bulan lagi mungkin berlaku gelombang penghijrahan ahli-ahli Pas pula. Sekiranya hal itu terjadi maka hanya Umno merupakan parti tunggal yang tidak begitu banyak masalah di dalam PN.


No comments: