Anwar Ibrahim: Menggesa Kerajaan Untuk Menggandakan Peruntukan & Dapat Sampai Yang Sangat Terkesan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim menyifatkan suntikan dana kerajaan sebanyak RM45 bilion dianggap
terlalu kecil untuk menghidupkan semula ekonomi negara.
Beliau berkata, ini berdasarkan
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun kedua negara yang didapati
menguncup kepada -17.1 peratus, jauh lebih tinggi berbanding mana-mana negara
Asia Tenggara.
"Penguncupan ekonomi untuk
suku tahun kedua mengejutkan kerana jauh berbeza dari unjuran yang dibuat
Kementerian Kewangan. Pengangguran masih menjadi masalah besar dengan statistik
terbaru sebanyak 4.9 peratus atau lebih 700,000 menganggur.
"Justeru, tumpuan suntikan
fiskal dana kerajaan perlu dibuat untuk sektor yang memerlukan bantuan segera,
ini bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi dan pemacuan ekonomi dapat
dipercepatkan.
"Kita bukan nak salahkan
kerajaan sahaja, tetapi kita harus realistik bahawa penguncupan ini adalah
parah kesannya kepada ekonomi," katanya ketika menyampaikan perbahasan di
Dewan Rakyat.
Perbahasan tersebut adalah bagi
membahaskan Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan
Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID19)) 2020.
Anwar turut membuat
perbandingan KDNK dan pakej ransangan ekonomi negara dengan negara-negara Asia
Tenggara.
"Di Indonesia, penguncupan
ekonominya sebanyak 5 peratus dan suntikan dana bernilai 3.5 peratus. Ekonomi
Filipina menguncup 6.5 peratus tetapi suntikan dana hanya 3.1 peratus.
"Ekonomi Singapura
menguncup 13.2 peratus tetapi pakej ekonomi sehingga 19.6 peratus tetapi sudah
tentu tidak boleh dibandingkan kedudukan ekonomi agak berbeza.
"Di Thailand, penguncupan
ekonomi negara itu sekitar 12 ke 13 peratus tetapi pakej ransangannya sebanyak
11.8 peratus, tetapi Malaysia yang menguncup 17.1 peratus hanya menyuntik dana
tiga peratus.
"Kenyataannya, penguncupan
ekonomi negara jauh lebih tinggi dari dihadapi negara Asean, jadi kalau begini
pakej ransangan harus lebih tinggi.
"Malah, pakej dari segi
suntikan dana fiskal negara adalah paling rendah, dengan penguncupan tinggi,
tapi suntikan paling rendah.
"Sebab itu, saya menggesa
menteri kewangan supaya serius dalam melipatgandakan inisiatif untuk memulihkan
ekonomi negara," katanya.
Pembangkang tidak pernah
membantah RUU COVID-19
Anwar yang juga Ahli Parlimen
Port Dickson menegaskan pihak pembangkang tidak pernah menolak sama sekali
pakej ransangan ekonomi COVID-19, sebaliknya hanya menggesa untuk membuat
penambahan dana kepada peruntukan sedia ada.
"Yang kita tolak adalah
peruntukan untuk pembaziran kementerian-kementerian yang kita anggap tidak
perlu, sebabnya kerajaan perlu tumpu kepada pakej ransangan bagi menangani isu
pengangguran dan meningkatkan penggunaan teknologi.
"Jadi tidak timbul sama
sekali mengenai sebarang bantahan, sebab itu kita bangun bukan sekadar
menyokong tetapi meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menambah dana dengan
skala lebih besar," katanya.
Tambah peruntukan, defisit
lebih besar?
Anwar juga memberi penjelasan
sama ada penambahan peruntukan yang lebih besar akan memberi kesan kepada
ekonomi negara.
"Walaupun kita mengusulkan
penambahan dana sebanyak 45 peratus, dan melibatkan defisit lebih besar, ia
tidak akan menyebabkan kemelut ekonomi dan kita perlu runsing tentang soal
fiskal, dengan syarat pengurusan ekonomi itu baik.
"Saya ingatkan yang
menjadi masalah sekarang ini adalah isu kesediaan kerajaan untuk melihat semula
pakej bagi memastikan terdapat optimal return sama seperti apa yang dilakukan
Jerman, United Kingdom, Australia dan Kanada.
"Kalau dibuat
perbandingan, suntikan ekonomi negara-negara ini lebih sensitif dan prihatin
dalam mengambil tindakan penyesuaian segera.
"Jerman misalnya
menyediakan 500 bilion euro tetapi mereka memastikan kelulusan bank tidak
ditentukan oleh bank semata-mata, malah ia mesti diluluskan dalam tempoh 4
hari, bantuan tidak dilengahkan.
"Jadi yang harus
dibetulkan adalah pendirian menteri kewangan yang lebih mirip kepada pemikiran
ahli-ahli bank dan bukan kepada peminjam dan ekonomi, yang hanya memikirkan
soal collateral dan track record.
"Kita tak boleh ikut
peraturan sedemikian. Kita harus melihat kepada pendekatan baru dan hanya tumpu
kepada peranan bank yang bertentangan kepada kerajaan," katanya.
Pengurusan perlu terus, tata
kelola perlu dijaga
Anwar merumuskan perbahasannya
dengan menekankan soal ketelusan pengurusan dan tata kelola yang baik.
"Isu pengurusan dan tata
kelola amat penting. Kalau dana terbatas digunakan boleh membesarkan
kementerian dan menambah jawatan, ini tidak menjawab kepada tumpuan dan
keutamaan kerajaan ketika ini.
"Saya membantah keras jika
ada pengurusan lemah penyelewengan dalam penyaluran dana ini.
"Sebab itu, isu tata
kelola perlu diutamakan dan pelaksanaan peraturan dibuat dengan sangat ketat
selain ketelusan serta kesediaan sumber wang dibuat dengan teliti.
"Ini termasuk soal dari
mana sumber kewangan, berapa jumlah dana, berapa kadar faedah, berapa
tanggungan bagi negara.
"Perkara ini ditekankan
supaya jangan ada sama sekali unsur untuk membebankan rakyat tetapi mengizinkan
ketirisan dan pemborosan, ini berlaku dalam semua pentadbiran.
"Dalam keadaan rakyat
menghadapi masalah jangan ibarat kita bina mahligai atas pusara. Orang derita
kita hanya nak senang," katanya.
Anwar juga tidak mahu melihat
wakil-wakil kerajaan menunjukkan sikap seolah-olah mereka hanya mementingkan
diri sendiri dan tidak mempedulikan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.
"Rakyat menganggur hampir
1 juta orang, tapi kamu orang besar hanya duduk mentekedarah wang lebih, ini
kita bantah.
"Jangan sokong bawa rebah
kerana wang, jangan disalahgunakan untuk perkara lain," katanya.