Beri penjelasan isu pemberhentian feri di Pulau Pinang


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong digesa memberi penjelasan penuh berhubung isu pemberhentian sementara perkhidmatan feri di Pulau Pinang.
Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini buat pertama kali feri Pulau Pinang diberhentikan perkhidmatan, bukan kerana sebarang tragedi atau sebagainya, tetapi kerana masalah pengurusan.
Menurut beliau, pemberhentian itu amat menyusahkan rakyat negeri itu tidak kira dari kawasan pulau atau dari seberang.
“Saya hendak tanya Prasarana, sekarang pengerusinya ialah Yang Berhormat Pasir Salak (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) dan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng,
“Mengapa perkara amat memalukan ini boleh berlaku khususnya telah membawa banyak kesulitan kepada pengguna-pengguna dan sekarang terpaksa diangkut dengan bas untuk pergi ke pulau dan sebaliknya,” soalnya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Guan Eng turut berharap Ka Siong menjelaskan kepada rakyat adakah projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) berjalan mengikut jadual atau keputusannya hanya akan dibuat selepas 2023.
Jelas Ahli Parlimen Bagan itu, jika perlu menunggu selepas 2023, ia tidak lain tidak bukan, adalah satu pembatalan projek tersebut.
Guan Eng memberitahu, perkara tersebut timbul apabila Ka Siong memberikan jawapan di Parlimen bahawa projek pembesaran PIA akan ditangguhkan selepas 2023 iaitu selepas Pelan Strategik Penerbangan Kebangsaan (NASP) siap dikaji.
“Ini adalah sesuatu yang tidak adil dan tidak munasabah kerana di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), projek ini telah pun diberikan kelulusan untuk berjalan,” katanya.

No comments: