Soal kebajikan dalam kalangan
penjaja perlu ditangani dengan sewajarnya kerana mereka adalah antara golongan
yang paling terkesan dengan penularan wabak COVID-19.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata golongan penjaja masih lagi kurang mendapat perhatian
daripada pihak kerajaan, malah tidak mempunyai tempat untuk mengadu.
"Penjaja juga tergolong
dalam kategori paling miskin dan bantuan yang diperoleh adalah sangat
kecil," katanya di Dewan Rakyat.
Justeru, Anwar menggesa
kerajaan dan majlis perbandaran supaya membuat satu penyelarasan secara
menyeluruh bagi memastikan kebajikan golongan penjaja tidak terpinggir dengan
sewenang-wenangnya.
"Saya percaya pihak
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta majlis perbandaran perlu
selaras mengenai perkara ini kerana bidang tugas kedua-dua pihak ini berbeza.
"Jadi saya mendesak satu
penyelarasan menyeluruh, kerana golongan penjaja masih tidak mendapat pembelaan
sewajarnya, walaupun ada langkah-langkah yang sudah diambil bagi memulihkan
masalah," katanya.