Menteri dari kerajaan Perikatan
Nasional (PN) seperti Azmin Ali dianggap tidak bersikap jujur kerana mereka
yang dahulunya sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga didakwa
mengambil projek dengan tender secara rundingan terus.
Ahli Parlimen Kuala Langat,
Xavier Jayakumar berkata enam menteri PN juga terlibat dalam mesyuarat Kabinet
PH dan mereka tidak boleh berpura-pura seolah-olah langsung tidak bersalah.
"Enam menteri Kabinet
dalam PN tak boleh cakap yang mereka tak tahu apa-apa.
"Kalau mereka kata tak
tahu, nampak bodoh kerana mereka juga ada dalam mesyuarat Kabinet PH dan mereka
juga ada meminta supaya projek dibuat secara rundingan terus.
"Parlimen sudah jadi
sarkas, bukan lagi pasal berdebat, mempolitikkan isu sampai benci membenci satu
sama lain sepanjang sidang Dewan Rakyat kal ini.
"Kita sentiasa bersikap
jujur tetapi menteri kewangan tidak berlaku adil apabila melakukan kenyataan
mengenai projek rundingan terus, dan ini bukanlah tingkah laku yang
berparlimen," katanya dalam sidang media di Parlimen.
Xavier yang juga bekas Menteri
Air, Tanah dan Sumber Asli menegaskan bahawa kementerian tidak pernah membuat
rundingan secara terus.
"Sepanjang saya jaga
kementerian selama 22 bulan, saya tak pernah tulis kepada Kementerian Kewangan
minta projek dibuat secara rundingan terus.
"Ada satu sahaja projek
dibuat runding terus, itu pun projek itu diberikan kepada Khazanah Nasional
sebab Khazanah nak buat kerjasama dengan Boeing, dan ia dibawa kepada mesyuarat
dan Kabinet meluluskan," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen
Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan projek
jenis apa yang dibuat secara rundingan terus sewaktu di bawah pentadbiran
kerajaan PH.
"Pada Oktober 2018, satu
jambatan runtuh di Serdang, dalam Kulim Bandar Baharu di Kedah dan ia
menyebabkan kesulitan 3,000 penduduk yang setiap hari menggunakan laluan
tersebut.
"Saya menulis kepada
Kementerian Kewangan ketika itu berdasarkan tatacara perolehan dan perolehan
itu mendesak kerana projek itu perlu disegerakan, jika tidak ia akan
memudaratkan dan menjejaskan kepentingan awam.
"Jadi Kementerian Kewangan
memberikan kelulusan dan Jabatan Kerja Raya kemudian melakukan proses dan
jambatan baru kini dalam pembinaan.
"Kalau nak sebut tender
terbuka untuk jambatan itu, akan timbul pelbagai isu, kajian dari pelbagai
jabatan perlu dibuat terlebih dahulu dan kena tunggu, alamatnya sampai sekarang
belum selesai.
"Tapi ia menunjukkan
bahawa amalan PH adalah sangat telus," katanya.