Rundingan bentuk kerajaan PH Plus masih diteruskan
Rundingan bagi mengembalikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih berjalan biar pun banyak pihak menganggap perkara itu telah berakhir.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, usaha menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan Plus tetap terus dilakukan meskipun tiada rundingan dibuat secara terang-terangan.
“Mengikut kenyataan media Majlis Presiden PH, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan juga Pengerusi PH untuk berbincang dengan semua pihak.
“Dalam kenyataan itu, (pihak yang dibawa berunding) termasuklah Datuk Seri Shafie Apdal dan juga Tun Mahathir, dalam usaha mengembalikan mandat rakyat,” kata Fahmi dipetik.
Perundingan menubuhkan kerajaan PH Plus dianggap banyak pihak telah berakhir apabila ‘Bersatu Hitam’ Tun Mahathir dan parti Warisan Shafie Apdal mengisytiharkan mereka sebagai blok Bebas beberapa hari sebelum sidang Parlimen bermula pada 13 Julai lalu.
Namun sumber-sumber dalaman PH mendakwa rundingan untuk meyakinkan ahli-ahli parlimen masih dilakukan bagi mencukupkan jumlah majoriti.
Berdasarkan undian menukar Speaker Dewan Rakyat kerajaan Perikatan Nasional mempunyai 113 sokongan manakala PH mempunyai 109.