MUHYIDDIN LAYAK KETUAI MN.ADAKAH MAT HASSAN TIDAK MAHU LAGI NAJIB KEMBALI?


Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, UMNO boleh mengubah semula keputusan pemecatan Muhyiddin Yassin jika beliau berhasrat menyertai semula parti itu.
Tambahnya, jika Perdana Menteri berbuat demikian, ia akan memudahkan banyak perkara, antaranya berkaitan pembahagian kerusi dalam PRU15 kelak.
“Kalau ada hasrat Muhyiddin kembali kepada UMNO, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau.
“Beliau seterusnya akan jadi Perdana Menteri yang didukung parti yang besar dan ramai Ahli Parlimen, jadi lebih mudah dan lebih senang,” tegas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi.
Mohamad yang juga Adun Rantau turut menegaskan, Muhyiddin merupakan calon Perdana Menteri PRU15 yang layak ekoran penerimaan rakyat yang baik sepanjang menggalas jawatan itu.
Tambah Mohamad atau Tok Mat Hasan, beliau juga secara peribadi tiada masalah dengan pencalonan Muhyiddin itu.
“Mengapa tidak kita ambil peluang untuk menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN)?
“Tak ada isu, yang penting kita dapatkan kemenangan yang selesa,” katanya.
Dengan kenyataan ini, apakah ia bermakna Tok Mat Hasan tidak mahu Najib Razak jadi Perdana Menteri semula, terutama jika bekas Perdana Menteri itu didapati tidak bersalah dalam kes SRC International yang keputusannya akan diumumkan hakim Mahkamah Tinggi pada 28 Julai depan?
Kemudian, apakah Muhyiddin saja yang diraikan untuk kembali menyertai UMNO?
Bagaimana dengan pemimpin Bersatu yang lain, terutama bekas pemimpin UMNO yang melompat menyertai Bersatu selepas PRU14 lalu?
Geng Azmin Ali yang juga berada dalam Bersatu apa pula nasibnya, bolehkah mereka menyertai UMNO bersama dengan Muhyiddin? (Shahbudindotcom 24/07/2020)

No comments: