Saifuddin tambah senarai menteri PN dikecam rakyat!

Saifuddin tambah senarai menteri PN dikecam rakyat!


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah kini melengkapi senarai Kabinet Perikatan Nasional (PN) yang menerima kecaman ekoran syarat lesen kepada semua penerbit filem termasuk di platform media sosial.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu sudah digelar ‘Menteri Lesen Finas’ oleh warganet ekoran bantahan orang ramai khususnya golongan personaliti media sosial dan penyedia kandungan video dalam Youtube (Youtuber).
Saifuddin ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat semalam menjelaskan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diperlukan untuk semua aktiviti penggambaran termasuk untuk kegunaan peribadi di media sosial.
Susulan itu, beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) tampil menyelar keputusan berkaitan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan kewajipan yang mengejutkan dunia media itu sepatutnya memerlukan kajian lebih teliti.
“Adakah kerajaan akan turut mengambil tindakan ke atas guru-guru yang merakam video pembelajaran tanpa lesen Finas?” bidasnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan dalam reaksi menerusi saluran YouTube, Jeming Hassan berpendapat keputusan kerajaan PN yang tanpa mandat rakyat itu dibimbangi akan menjejaskan sumber pendapatan rakyat dan industri kreatif negara.
Bagi Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula, Saifuddin perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang dianggap sebagai episod ketiga ‘salah langkah’.
Sebelum ini, Saifuddin ‘salah langkah’ apabila melantik Eric Paulsen ke Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia tetapi ditarik balik selepas dipertikai serta pembatalan peruntukan spektrum jalur komunikasi kepada beberapa syarikat tanpa tender terbuka juga selepas dikecam banyak pihak.
Selain Saifuddin, enam lagi menteri Kabinet Muhyiddin Yassin mencetuskan kontroversi dan menjadi bahan ketawa rakyat ekoran keputusan atau tindakan mereka yang sukar diterima akal logik.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa digelar ‘Menteri Nyah Kuman Bangunan Tinggi’ apabila menyarankan agar bangunan tinggi disanitasi bagi mengekang penularan Covid-19.
Satu-satunya pemimpin Pas yang menyertai senarai troll warganet setakat ini ialah Menteri Alam Sekitar dan Air yang diterajui Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden Pas digelar ‘Menteri Mewa’ apabila kementeriannya berhasrat mahu menggunakan singkatan baharu MEWA yang kebetulan bermaksud bingung atau bodoh.
‘Menjangkitkan’ kelucuan
Wabak Covid-19 juga dilihat ‘menjangkitkan’ kelucuan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin apabila diketawakan orang ramai ekoran memakai ‘tag’ menteri di atas dahinya.
Pemimpin PKR yang mengkhianati PKR dan Pakatan Harapan (PH) itu juga dijadikan bahan sindiran di media sosial apabila mengenakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) walaupun kelengkapan keselamatan tersebut terhad pada akhir Mac lalu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad pula dilabel ‘Menteri Tik Tok’ apabila terlibat dengan penganjuran pertandingan menerusi aplikasi video pendek berdurasi 15 saat, TikTok.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun dipanggil ‘Menteri Doraemon’ ekoran salah satu tips untuk ibu bekerja dari rumah yang menyarankan golongan isteri meniru nada suara Doraemon diikuti dengan gelak manja jika mahu menegur suami.
Dilihat paling diingati dan menjadi bahan jenaka warganet ialah saranan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba kononnya meminum air suam boleh mematikan virus Covid-19 selain dimusnahkan di dalam perut yang berasid.
Mendapat jolokan ‘Menteri Air Suam’, saranan Ahli Parlimen Tenggara di Johor itu turut disangkal pengamal perubatan antaranya doktor pakar bedah, Dr Amalina Bakri.
Sumber: Malaysia Dateline