Timbalan Menteri Agama kata perlu pertimbangkan pula untuk bentang RUU355


Timbalan Menteri Agama kata perlu pertimbangkan pula untuk bentang RUU355
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Itu mungkin rumusan kepada sikap Pas yang sebelum ini galak menyerang Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary memberitahu sidang Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan memerlukan penelitian secara menyeluruh sebelum dapat dibentangkan.


Wakil rakyat Pas-Pengkalan Chepa itu berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Dr Hassan Bahrom (AMANAH-Tampin).

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang daripada pelbagai pihak.

“Walau bagaimanapun, cadangan ini memerlukan pertimbangan dan penelitian secara menyeluruh bagi memastikan cadangan tersebut selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” jawab Ahmad Marzuk.


Terdahulu, Dr Hassan bertanyakan bila kerajaan akan membentangkan RUU 355 untuk kali kedua serta meminta penjelasaan berkenaan pelaksanaannya.

Pas dilihat menjadikan isu RUU 355 sebagai senjata politiknya ketika bergelar pembangkang dengan kemuncaknya mengadakan himpunan di Padang Merbok di ibu negara pada 18 Februari 2017.

Desakan Pas kemudiannya lebih garang ketika PH mula mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan.


Antaranya, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang pada 27 Mei 2018 dilapor berkata, bekas pemimpin Pas yang menyertai AMANAH perlu menunaikan janji bagi membolehkan RUU 355 dibentangkan di Parlimen.

Ekoran sikap Pas yang berdolak-dalih berhubung polemik RUU 355, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan baru-baru ini menyifatkan Pas sebagai parti politik paling jijik kerana hanya memperalat Islam.

No comments: