RUU355: Agama dilacur demi politik


RUU355: Agama dilacur demi politik

Sidang Dewan Rakyat telah masuk minggu kedua untuk para ahli parlimen berbahas bagi menentukan hala tuju negara dan rakyat. Hal-hal berkaitan agama Islam tidak kiralah agensi, institusi atau apa sahaja semestinya akan menjadi isu hangat di parlimen. Dimulakan dengan isu Tabung Haji dan yang terbaru pindaan RUU 355 selepas soalan daripada YB Datuk Dr. Hasan Baharom menanyakan apakah kerajaan Perikatan Nasional akan membentangkan RUU 355? Seperti biasa, rakyat diperbodohkan oleh si pendusta dengan jawapan selamat diberikan.
Timbalan Menteri (Agama), YB Ahmad Marzuk bin Shaary daripada PAS menjawab RUU 355 memerlukan pertimbangan dan penelitian terlebih dahulu. Persoalannya, apakah selama bertahun-tahun sejak tahun 2015 lagi PAS bersandiwara dengan RUU 355, masih tiada pertimbangan dan tidak meneliti terlebih dahulu?
Permainan RUU 355 di parlimen ini bukan perkara baru bagi PAS. Pada 26 Mei 2016 – iaitu hari terakhir sidang parlimen sesi berkenaan – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibawa ke depan (didahulukan) dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat. Usul Azalina kemudian disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Bagaimanapun Presiden PAS tidak mengambil peluang yang ada dan memohon ditangguhkan ke sesi akan datang.
Pada 6 April 2017 – Presiden PAS diberikan peluang sekali lagi untuk usul RUU 355 dibentangkan, usul yang sepatutnya dibahaskan oleh barisan ahli parlimen tetapi kali ini Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memainkan peranan dengan menangguhkan sesi perbahasan usul.
Pandikar beralasan beliau berkuasa penuh untuk menentukan perjalanan mesyuarat dewan dan membuat keputusan berdasarkan kuasa yang ada padanya. Sekali lagi RUU 355 dilacurkan oleh mereka.
Tidak cukup dengan permainan RUU 355 di parlimen, rakyat pula diheret oleh mereka dalam satu himpunan dipanggil Himpunan 355 (H355) di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Pelbagai persepsi dan dokrinisasi disebarkan bagi mempengaruhi rakyat. Demi politik, agama dilacurkan begitu sahaja.
Ini antara sedikit sebanyak yang terjadi semasa PAS berada dalam pembangkang yang dikatakan “perjuangkan” RUU 355.
Puluhan juta rakyat Malaysia tertanya-tanya adakah usul yang bentangkan oleh Presiden PAS pada 3 tahun lalu hanyalah retorik semata-mata? Jika rakan sekutu PAS, iaitu UMNO menyokong RUU 355 kenapa pada ketika itu tidak dibahaskan dan diundi. Ini sekaligus pindaan RUU 355 dapat dilaksanakan dan Mahkamah Syariah diperkasakan.
Parti Amanah Negara pernah dijadikan sasaran awal dituduh tidak menyokong RUU 355. Pelbagai kata-kata bersifat takfir diberikan kepada para pemimpin dan ahli. Sedangkan pada tahun 2016, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, YB Khalid Samad yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam telah menyatakan Parti Amanah Negara menyokong RUU 355 jika betul Mahkamah Syariah hendak diperkasakan dan bukan retorik PAS semata-mata. Hakikatnya, RUU 355 daripada PAS sememangnya retorik semata-mata, jadi tidak hairan kenapa YB Khalid Samad mengamuk ketika perbahasan RUU 355 ditangguh sedangkan usul perlu dibahaskan bagi penambahbaikan dan diundi.
Sebagai sebuah kerajaan yang majoriti Ahli Parlimen beragama Islam tidak kiralah telah bersama sang perompak atau pun sang penyeleweng, rasanya agak mudah untuk PAS membentangkan RUU 355 ini. Tetapi natijahnya, jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri (Agama) seolah-olah tidak bersedia untuk mahkamah dan undang-undang syariah diperkasakan.
Hari ini PAS sudah berada di dalam kerajaan. Persoalan yang berlegar, adakah kertas usul yang dipegang dan dibaca oleh Presiden PAS semasa duduk di kerusi pembangkang 3 tahun lalu telah dibakul sampahkan?
Atau benar kata-kata Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Amar yang pernah memberitahu beberapa bulan yang lalu bahawa RUU 355 masih terlalu awal untuk dibincangkan. Jika dahulu sudah bersedia, kenapa tidak sekarang? Maka dengan itu, memang senada apa yang dikatakan Timbalan Menteri (Agama).
Sikap yang ada pada Timbalan Menteri (Agama) ini berbeza dengan bekas Menteri (Agama), YB Dr. Mujahid Yusof yang telah menyusun gerak kerja dalam memartabatkan undang-undang syariah. Dan dijangka direalisasikan pada tahun 2020 ini.
Jika ada yang ingin memberikan persepsi jahat kenapa tidak tahun 2019 dibuat? Pada 15 Julai 2019 langkah awal telah dilakukan dengan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah pun diluluskan di parlimen. RUU dibacakan sendiri oleh YB Dr. Mujahid Yusof ini adalah bertujuan antara lain bagi menubuhkan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie untuk mengawal selia amalan profesion guaman syarie di Wilayah Persekutuan. Ini secara tidak langsung bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme Peguam Syarie di negara ini, malah dapat menjadi pencetus ke arah memartabatkan institusi Mahkamah Syariah.
Sebagai salah seorang yang sedang berkhidmat di dalam agensi agama Islam dan selaku rakyat Malaysia yang beragama Islam, pemerkasaan Mahkamah Syariah semestinya disokong sama ada dari segi penambahbaikan bidang kuasanya mahupun penambahbaikan dari segi infrastrukturnya dan juga pengurusannya.
Telah bertahun lamanya RUU 355 dilacurkan demi politik murahan. Bilakah ianya akan berhenti?
Abdul Razak Bin Nordin
Naib Ketua Pemuda
Amanah Shah Alam

No comments: