PERTANYAAN RAKYAT BAWAHAN.- PEMIMPIN MANA PULAK DILEPASKAN SELEPAS INI



1. Pada 9/5/2018, rakyat Malaysia sanggup berdiri lama dan beratur panjang di pusat-pusat pengundian bagi membuat perubahan politik yang amat drastik tapi dengan secara aman dan demokratik. Tanpa dipaksa, mereka memilih PH dan menolak BN.
2. Dari segi perundangan, tiada siapa boleh menafikan banyak perubahan positif yang dilakukan oleh Kerajaan PH.
Antaranya, pejabat Peguam Negara yang di bawah pengendalian seorang peguam yang senior memperlihatkan “political will” mendakwa beberapa “ikan jerung”. Saya yakin rakyat yang membuat perubahan pada 9/5/2018 itu amat gembira.
3. Selaku mantan timbalan menteri undang-undang Kerajaan PH, saya sering ditanya bilakah para “jerung politik” yang didakwa itu hendak dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Jujurnya, agak sukar untuk menerangkan kepada mereka tentang kerumitan sistem dan proses perundangan.
4. Ramai dari rakyat yang mungkin sukar memahami kenapakah mereka yang dituduh dengan pelbagai tuduhan jenayah yang berat -misalnya tuduhan rasuah atau penggubahan wang haram berbilion ringgit-masih boleh dibenarkan ber”keliaran” di merata tempat, berselfie, berkempen dan lain-lain.
5. Rakyat ,secara umumnya , tidak begitu berminat untuk tahu apabila saya terangkan misalnya tentang doktrin ” seseorang yang didakwa di mahkamah dianggap tidak bersalah kecuali setelah dibuktikan bersalah” , konsep ” rule of law”, konsep ” fair trial”, konsep pemisahan kuasa eksekutif dan Peguam Negara atau Mahkamah dan konsep jaminan ( bail ).
6. Bagi rakyat ” para jerung politik” ysng didakwa dan dilihat telah menyusahkan negara/mereka perlu dan wajar dihukum segera. Buktinya, kata mereka, kami telah menolak mereka dalam pilihan raya. Maka, kata mereka, kerja kamu ( Kerajaan) adalah ” humban mereka dalam penjara dan bagi mereka reput di sana”.
Itulah , lazimnya, hujah mereka yang bersalut kemarahan mereka kepada saya misalnya.
7. Ya, amat sukar untuk menerangkan perbezaan ” hukuman politik” dan ” hukuman undang-undang” ke atas para aktor politik yang dianggap oleh rakyat telah melakukan jenayah. Prosesnya berbeza. Kaedah pembuktiannya juga berbeza. Ya, secara relatif, lebih mudah mensabitkan seseorang ahli politik yang korup melalui “hukuman politik”. Ini kerana, antara lain, proses pembuktian bersalahnya jauh lebih ringan dan jauh lebih mudah dibandingkan melalui proses undang-undang di mahkamah.
8. Mungkin , atas dasar itu, tidak sedikit rakyat yang agak ” marah” dan ” kecewa” kepada PH kerana , bagi mereka, pesalah yang “dihukum” melalui pilihanraya masih tidak dihukum melalui “mahkamah”.
Ironinya ketegasan Kerajaan PH untuk berpegang kepada prinsip ” kedaulatan undang-undang” ( rule of law) dan prinsip ” perbicaraan yang adil” ( rule of law) menyaksikan para pemimpin PH pula yang dimarahi dan dikritik secara pedas dan konsisten oleh para penyokong mereka sendiri.
9. Ya, ianya amat sukar. Tetapi, bagi saya, itulah prosesnya. Bukan mudah untuk membuat perubahan di dalam satu negara yang boleh dikatakan segala sendi-sendi utama di negara itu telah rapuh dan rosak secara teruk. Tapi, itulah jalan yang PH kena dan perlu tempuhi . Amat sukar dan berliku.
Boleh sahaja Kerajaan PH memilih cara yang lebih mudah dan lebih segera bagi ” menghukum” ” para jerung politik”. Mungkin cara sebegitu boleh menggembirakan para penyokong sendiri dalam jangkamasa pendek. Namun, maaf, itu bukan perubahan yang hakiki. Perubahan atas dasar dendam semata-mata tidak baik kepada negara pada jangkamasa panjang. Ia bukan perubahan yang ” genuine”.
10. Takdir Allah di saat para pemimpin Kerajaan PH sedang serius berfikir, merancang dan melaksanakan proses perubahan tersebut, rupanya ada pihak yang berfikir lain. Maka, berlakulah apa yang berlaku. Kerajaan PH yang dinaikkan melalui mandat rakyat dijatuhkan oleh Kerajaan PN yang terbina melalui pengkhianatan mandat rakyat. Puncanya hanya satu -kerakusan nafsu serakah!
11. Terbukti kini wujudnya beberapa insiden yang menunjukkan seolah-seolah negara ini sedang bergerak mengundur ke belakang – pra 9/5/2018- iaitu rakyat negara ini seolah-olah masih berada di dalam budaya dan persekitaran pemerintahan BN. Jika dahulu BN, sekarang PN. Malangnya, DNAnya masih tetap sama.
12. Dari aspek perundangan, boleh jelas kelihatan ketidaksamaan perlakuan ke atas rakyat yang tidak berdaya dan pemimpin yang berkuasa di hadapan undang-undang.
Pada mulanya, rakyat hanya melihat ketidaksamaan undang-undang dalam memperlakukan pemimpin dan kaum kerabat mereka yang melanggar PKP di satu pihak dan rakyat bawahan di satu pihak yang lain. Namun nampaknya ketidaksamaan itu tidak terhenti di situ sahaja.
13. Bila tertuduh yang berhadapan dengan jenayah yang ada kaitan dengan skandal 1MDB boleh dilepaskan tanpa dibebaskan hanya kerana bersetuju dan bersedia untuk memulangkan sejumlah wang tertentu, kecurigaan rakyat perkara sebegitu mungkin akan berulang benar-benar berlaku. Kali ini seorang lagi pemimpin yang berhadapan dengan 46 pertuduhan jenayah pula dibebaskan.
Soalan yang “legitimate” dari rakyat bawahan ” pemimpin mana pula selepas ini? ” dalam keadaan rakyat bawahan dihukum 15 bulan penjara kerana mencuri petai!
14. Almarhum YM Tun Raja Azlan Shah dalam satu penghakimannya iaitu dalam kes ” Public Prosecutor v Tengku Mahmood Iskandar and Anor ( 1973 ) 1 MLJ 128 memulakan penghakimanya dalam kes tersebut dengan kata kata yang menarik.
Terjemahan ke bahasa melayu berbunyi lebih kurang seperti berikut :-
” Hari ini bukan sangat Responden ,yang sedang menghadapi perbicaraan, yang dibicarakan tetapi keadilan itu sendiri ( yang sedang dibicarakan). Berapa banyak kadar keadilan bagi keadilan itu sendiri? Jika mahkamah berusaha untuk meletakkan keseimbangan antara dua neraca- kepentingan tertuduh dan kepentingan masyarakat , maka saya ingin katakan bahawa keadilan itu adalah bersifat adil ( justice is just ) .Tujuan keadilan itu mestilah keseimbangan dan kesaksamaan”.
15. Almarhum juga berkata :-
” …Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang berkata semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Ia bermaksud, secara tersirat, hanya ada satu sahaja set undang-undang di negara ini di mana semua rakyat adalah tertakluk kepadanya. Bagi kami, setiap warganegara, tanpa mengira status rasmi atau status sosial mereka, adalah di bawah pertanggungjawaban yang sama bagi setiap tindakan yang dilakukan tanpa justifikasi undang-undang. Kesaksamaan semua orang di hadapan undang-undang meninimakan kezaliman”
16. Nabi s.a.w telah lama meingatkan kita dalam satu petikan hadith yang antara lain, berbunyi, mafhumnya :-
“..hanyasanya mereka yang binasa sebelum kamu bahawasanya mereka jika ada di antara mereka yang mencuri itu di kalangan orang-orang mulia ( الشريف ) , maka dibiarkan sahaja ( tidak dihukum) , dan apabila yang mencuri di kalangan mereka itu orang yang lemah ( الصعيف ) , maka ditegakkan hukuman hadd ke atas mereka..”
والله اعلم
Mohamed Hanipa Maidin
Ahli Parlimen Sepang
11/6/2020.



No comments: