4 MP Bersatu Sabah sokong Tun?
Benarkah 4 ahli parlimen di Sabah yang keluar Umno masuk Bersatu akan bersama Tun Mahathir membentuk kerajaan baharu?
Spekulasi itu ada benarnya kerana MP tersebut tidak mungkin dicalonkan kembali di kerusi sama di bawah Perikatan Nasional kerana gabungan baharu ini dikuasai Umno. Bersatu juga tidak mempunyai jentera kempen berkesan. Perhitungan selamat adalah menyeberang kepada Pakatan Harapan
Sumber mendakwa, mereka yang mungkin menyeberang itu sudah membuat keputusan berkenaan susulan kedudukan politik negara yang tidak stabil.
Katanya, perbincangan mengenai perkara itu sudah dibuat selepas pembentukan kerajaan PN Mac lalu, namun tindakan ditangguh kerana penularan wabak Covid-19.
“Ada perbincangan dan Ahli Parlimen dari PPBM pada awalnya bersetuju untuk bersama-sama PH sebagai kerajaan.
“Namun yang terbaru, hanya empat yang bersetuju dan mereka ini sedang mengikuti perkembangan terbaru di peringkat persekutuan.
“Penyertaan mereka akan mengukuhkan PH selepas Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh berbuat demikian minggu lalu,” kata sumber itu dipetik.
Perkembangan itu menjadikan senario politik negara semakin panas sejak beberapa minggu ini selepas wujud desas desus kerajaan di peringkat persekutuan bakal tumbang.