TIDAK SEMESTINYA ADA PRAYA UMUM BAHARU JIKA UMNO & PAS TARIK DIRI, DEDAH PAKAR PERLEMBAGAAN



Spekulasi sudah merebak yang Umno dan PAS mungkin menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) dan menyebabkan pilihan raya awal susulan kenyataan baru-baru ini yang Muafakat Nasional bukan hanya bersedia untuk pilihan raya, tetapi juga sanggup menghadapinya sendirian.

Penguasaan PN terhadap Putrajaya kini berada pada majoriti tipis sebanyak dua kerusi Parlimen. Gabungan itu mempunyai 114 anggota Parlimen, dengan Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menguasai 32 kerusi.

Satu persoalan yang berlegar adalah jika Umno dan PAS, yang masing-masing menguasai 39 dan 18 kerusi, keluar daripada PN, adakah secara automatik akan menyebabkan pilihan raya baharu?

“Tidak, ia tidak akan berlaku kerana Yang di-Pertuan Agong berhak berkata ‘tidak’ kepada pembubaran Parlimen,” kata pakar perlembagaan Prof Shad Saleem Faruqi kepada The Malaysian Insight.

“Sangat jelas di bawah perlembagaan persekutuan, Perkara 40, Fasal 2 (b) yang menyatakan Agong boleh tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen.

Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya “bersedia hadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15)” dalam catatan Facebook, dengan gambar beliau menerima kunjungan hormat bekas perdana menteri Najib Razak di rumahnya.

Najib, yang bakal mengetahui keputusan pertama daripada lima perbicaraan kes jenayahnya  pada 28 Julai, juga dikatakan berada di belakang kempen Umno di seluruh negara untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya baharu bagi kembali semula sebagai perdana menteri, menurut dakwaan pembangkang.

Sementara itu, PAS berkata PN akan bersatu dan berusaha menjelang PRU15.

Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata, beliau yakin parti PN akan berusaha bersama untuk menghadapi PRU15.

Namun, Shad Saleem berkata jika Umno dan PAS menarik diri, Muhyiddin akan berada dalam keadaan dilema.

“Beliau akan mempunyai dua pilihan. Yang pertama adalah mengundurkan diri dan membuka jalan kepada Agong untuk melantik orang lain.

“Satu lagi adalah menasihati Agong agar membubarkan Parlimen dan menggesa mengadakan pilihan raya,” kata Shad Saleem, yang merupakan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Agong boleh menolak kerana beliau boleh merasakan ini bukan waktu yang tepat, memandangkan keadaan pandemik Covid-19 dan ekonomi, kata Shad Saleem, sambil menambah ia akan menyaksikan kerajaan mengeluarkan peruntukan kira-kira setengah bilion ringgit untuk mengadakan pilihan raya.

“Pilihan raya baharu mungkin akan lebih mahal kerana makluman yang singkat. Segala-galanya harus disiapkan dengan cepat, termasuk dakwat.”

Beliau berkata Agong juga mungkin akan membenarkan kerajaan alternatif mengambil alih.

“Jika Agong berkata ‘tidak’, perdana menteri mungkin harus mencari kerajaan alternatif untuk mengurus negara ini. Dan itulah cabarannya.”

Kes Mohammad Nizar Jamaluddin lwn Zambry Abdul Kadir sebelum ini menjadi duluan, yang menyaksikan Zambry daripada Umno menang saman di Mahkamah Persekutuan pada 2010 untuk diiktiraf sebagai menteri besar Perak yang sah, berikutan krisis perlembagaan negeri.

Mahkamah memutuskan sultan memiliki hak untuk menolak permintaan diadakan pilihan raya.

Seorang lagi peguam perlembagaan, Surendra Ananth, memberitahu The Malaysian Insight yang mengambil petunjuk daripada krisis perlembagaan Perak, Agong boleh melantik perdana menteri baharu selepas berpendapat Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti.  – 11 Jun, 2020. By Bede Hong.

No comments: