100 hari: Sudahkah kabinet Muhyiddin isytihar harta?




Oleh Sheikh Umar Bagharib Ali
(Adun Paloh dan Ketua DAPSY Johor)
Saya telah menyoal sebelum ini; sejauh mana komitmen kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan kabinetnya mengisytiharkan harta dalam tempoh sebulan sepertimana yang beliau sendiri ikrarkan pada 11 Mac 2020 lalu.
Saya yakin Muhyiddin tidak lupa. Pengumuman yang penting, yang dibuat menerusi sidang media sejurus selepas beliau mempengerusikan mesyuarat sulung kabinet Perikatan Nasional (PN). Masakan boleh lupa?
Hari ini, dicanang berkaitan 100 hari pencapaian kerajaan pimpinan Perdana Menteri. Saya ingin bertanya sekali lagi; adakah Kabinet kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sudah mengisytiharkan harta sepertimana yang diikrarkan awal-awal dahulu?
Langkah mengisytihar harta merupakan salah satu jalan untuk menggambarkan komitmen, kebertanggungjawaban serta akauntabiliti. Dari satu bulan kepada 100 hari, ia masih menjadi tanda tanya apakah kerajaan pimpinan Muhyiddin ini masih berdiri sebagai sebuah kerajaan yang punya integriti dan ketelusan.
Ditambah lagi dengan isu-isu seperti pendedahan rakaman audio berhubung ‘membeli’ sokongan ahli-ahli parlimen menerusi ‘scheme of things’ yang tular baru-baru ini, persoalan berkaitan integriti dan akauntabiliti wajar dipersoal ke atas kerajaan hari ini.
Untuk rekod juga, Adun Pakatan Harapan (PH) Johor telah sempurna menghantar borang pengisytiharan harta kepada speaker negeri pada 31 Mei 2020 yang lalu meskipun tidak lagi menjadi kerajaan. 
Saya fikir, pada masa kita semua memahami akan kepentingan untuk seluruh rakyat Malaysia bersolidariti melawan pendemik Covid-19, saya harap Muhyiddin dan kabinetnya tidak bersikap defensif. Saya harap beliau tidak bersembunyi di sebalik alasan Covid-19 semata-mata untuk mengelak daripada berhadapan dengan isu-isu lain yang tak kurang juga pentingnya dalam berkerajaan.

No comments: