Saya teringat kepada satu sitkom yang sangat popular satu ketika dahulu bernama Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Drama itu berkisar sekitar isu masyarakat di kawasan Flat Sri Wangi, tetapi isu yang diutarakan akhirnya tidak ke mana macam orang Penang cakap `Pi Mai Pi Mai Tang Tu jugak’.
Pi Mai Pi Mai Tang Tu adalah gelora arus bawah yang mengalir deras, tidak kelihatan di permukaan disebabkan oleh PKP, tetapi kencang di bawah seolah-olah seperti air tenang jangan disangka tiada buaya.
Setelah rakyat mengundi menolak UBN (Umno Barisan Nasional), mereka mahukan perubahan dengan memberikan mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Namun tidak sampai dua tahun, perubahan yang diinginkan itu akhirnya kembali ke asal, bukannya `new normal’ atau kelaziman baharu tetapi kelaziman lama gara-gara anti-DAP, dakyah lain dan dengan strategi Langkah Sheraton, akhirnya lahir Perikatan Nasional – gabungan Umno-Pas dari Muafakat Nasional bersama MCA dan MIC, bekas ahli Parlimen PKR dan ahli-ahli Parlimen Bersatu yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Perancangan antara Datuk Seri Azmin Ali dan Muhyiddin bersama Muafakat Nasional telah berjaya memerintah kerajaan sekarang.
Apa yang rakyat inginkan ialah Modal Politik baharu tetapi akhirnya kita akan kembali kepada modal politik lama. Modal politik yang saya maksudkan di sini ialah daya guna keseluruhan jenis modal yang dimiliki seorang, kumpulan pelaku politik atau sesebuah lembaga politik seperti parti-parti politik untuk menghasilkan tindakan politik seperti pilihan raya ke-14 dan Langkah Sheraton.
Sejauh manakah tindakan politik yang digerak atau disusun itu menguntungkan dan memperkuat pengaruh dan kedudukan ahli pelaku politik atau lembaga politik bersangkutan.
Dalam kaitan dengan modal politik ini terdapat empat pasar politik yang berpengaruh kepada pembesaran modal politik yang dimiliki oleh kepimpinan politik atau sebuah lembaga politik.
Pasar politik pertama, adalah pilihan raya atau Langkah Sheraton kerana kedua-dua contoh ini adalah instumen dasar untuk pemilihan pemimpin dalam pembentukan kerajaan secara demokrasi atau `tebuk atap’.
Pasar politik kedua adalah rumusan-rumusan awam melalui dasar-dasar dan pelaksanaannya seperti pengendalian isu rasuah, mencari jalan menyelesaikan hutang negara dan rangsangan pakej ekonomi.
Pasar politik ketiga adalah dinamika hubungan dan konflik antara ahli politik dan lembaga politik daripada perumusan dan pelaksanaan kebijakan-kebijakan awam.
Sejauh manakah dasar-dasar atau kebijaksanaan kerajaan mempengaruhi rakyat atau propaganda pembangkang terhadap kerajaan PH dengan isu-isu anti-Melayu, anti Islam atau juga Buy Muslim First (BMF) yang tidak kelihatan lagi dan tenggelam selepas kerajaan PN berkuasa.
Pasar politik keempat adalah pendapat atau pandangan umum mengenai tindakan ahli politik atau kerajaan PH misalnya dan ramai orang Melayu telah terpengaruh dengan dakyah dan propaganda pembangkang dahulu, juga di dalam Bersatu dan sebahagian kecil ahli politik PKR.
Apabila modal politik lama digunakan ialah isu Chin Peng digunakan oleh Umno untuk meniup api perkauman bagi meraih sokongan di kalangan pengundi Melayu.
Dalam hubungan ini kerjasama Umno dan Pas yang membawa sentimen kaum dan agama seperti ancaman ketuanan Melayu, isu perkauman, ancaman kepada agama Islam, BMF, anti-Melayu maka gagasan Malaysia Baharu terpadam, tidak lagi diperkatakan, maka Umno muncul dalam senario arus perdana sebagai kerajaan maka itulah yang saya katakan politik Umno yang Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Umno telah berjaya menggunakan modal politik lama yang mapan, dan berjaya mempengaruhi pasar politik dan kedudukan kerajaan PN sekarang goyah, pohon yang akarnya tidak kuat mengcengkam bumi.
Jika dilihat kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamad dan apa yang berlaku di Johor dan Perak, rasanya Umno akan menjadi tonggak dan kembali berkuasa dalam arus politik tanah air.
Kenyataan beliau seperti Umno memberi kata dua kepada Bersatu untuk lihat ke dalam diri atau cermin diri dulu.
Nur Jazlan mengingatkan Bersatu di negeri itu supaya mencermin diri sendiri dahulu sebelum boleh `cakap banyak’ menguar-uarkan kepentingan mereka dalam gabungan PN.
Malah, tegas Nur Jazlan, kalau pun ada cadangan Bersatu untuk menggantikan Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad dari Umno, ia tidak memberi sebarang makna kerana parti itu tidak ada majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selain kerjasama yang rapuh dengan Pakatan Harapan (PH).
“Kalau dia orang masih berkeras nak Bersatu masih wujud, kita lawan masa pilihan raya negeri dan pilihan raya umum. Umno nothing to lose. Dah jatuhkan PH pun,” kata Nur Jazlan kepada Suara Merdeka menerusi aplikasi WhatsApp.
Isnin lepas, Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.
Kata Mohd Solihan, 11 wakil rakyat parti itu serta seorang wakil bebas dalam DUN mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan PN terus utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.
Nur Jazlan berkata, kedudukan dan peranan Bersatu dalam kerajaan PN juga bukan isu kerana beberapa pemimpin Umno sebelum ini pun sudah menjelaskan setakat hari ini tiada perjanjian rasmi dalam menubuhkan gabungan PN.
Pada 25 April lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menyertai PN kerana gabungan itu tidak berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).
Kata Mohamad, hubungan Umno dengan PN hanya berbentuk persefahaman bagi “menyelamatkan Malaysia” daripada kemelut politik dicetukan kelompok tertentu dalam PH.
Bersatu Johor tidak mempunyai modal politik kreatif daripada pembentukan PN harus akur dan paling malang ‘mangsa keadaan’ kepada `trade-off’ atau percaturan politik di peringkat Persekutuan apabila mereka yang terlibat memulakannya dengan Langkah Sheraton.
Trade-off ini ialah Bersatu Johor hilang kerusi Menteri Besar (MB) yang menjadi ‘korban’ paling “suci” dalam sejarah konflik kuasa ini.
Percaturan politik yang membolehkan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri kelapan namun tiada siapa boleh menafikan bahawa kehilangan kedudukan MB di Johor boleh memberi implikasi besar terhadap kedudukan Bersatu di peringkat negeri kerana dalam pasar politik, Bersatu sudah hilang modalnya.
Mungkin pada peringkat awal lagi, Bersatu Johor sepatutnya boleh mencontohi Kedah yang mengambil sikap berkecuali daripada rumusan ijtihad penjajaran semula politik di peringkat Persekutuan yang membentuk PN.
Ramai pimpinan atasan dalam PN sendiri pun kerapkali menegaskan bahawa PN adalah gabungan politik yang rapuh dan tidak diikat oleh apa-apa perjanjian yang kemas.
PN hanyalah berfungsi sebagai gabungan yang disifatkan ‘sementara’ sahaja pada saat krisis melibatkan ‘Langkah Sheraton’. Ibarat rumahtangga, PN bukanlah lahir kerana ikatan kasih dan cinta.
Adakah Bersatu Johor merasakan hayat parti mereka mampu bertahan lebih lama dalam jalinan kerjasama bersama Umno/BN, berbanding bersama Pakatan Harapan?
Mereka telah hilang modal dalam pasar politik maka kembali kepada politik Pi Mai Pi Mai Tang Tu Umno di mana kuasa dan kepentingan puak dan kelompok adalah segala-galanya.
Kasihan kepada rakyat, tentulah mereka berasa ditipu, selepas segala silat-silat politik untuk berkuasa dipamerkan di mana Umno sedang mengatur strategi untuk berkuasa.
Umno nampak yakin bahawa jika pilihan raya diadakan mereka boleh menang, Bersatu tidak ada pilihan akan pulang ke pangkuan ibuya.
Ini yang saya maksudkan dalam politik Malaysia Pi mai Pi Mai Tang tu juga, pusing-pusing keliling jumpa Umno juga.
Umno masih dengan tabiat lama, haloba kuasa, nak pangkat, pengaruh, wang, Pi Mai Pi Mai Tu atau pusing-pusing jumpalah kembali dengan wajah pemimpin-pemimpin Umno yang mapan itu.
Siapa ada lagi? Rasanya inilah yang membuat Tun Dr Mahathir Mohamad meluat dengan Umno.
Saya tidak nampak apa yang istimewa dengan PN ini. Wujudkah setiakawan, tidak ada perjuangan bersama untuk mencapai kemenangan, tiada ‘susah senang bersama’ dalam berjuang semasa pilihan raya dan paling utama, tidak ada mandat rakyat yang membolehkan PN berjalan tegak bermaruah pada ketika ini.
Yang ada hanyalah episod ‘buli membuli, charas, sailang’ demi survival politik atau ‘Staying Alive’ (teringat Bee Gees pula) bagi mengabsahkan tindakan yang dilakukan.
Ends.
Ends.
*Kolumnis adalah seorang pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Unisel (Unisel).