PKR larang sertai pro Kartel
WFAUZDIN NS
KEADILAN telah mengeluarkan surat pekeliling yang merupakan satu arahan kepada semua ahli parti agar tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan dua pertubuhan/Persatuan yang mempunyai kaitan dengan “pengkhianat” parti yang telah dipecat baru-baru ini.
Dua pertubuhan tersebut adalah Penggerak Komuniti Negara atau sebelum ini dikenali sebagai Penggerak Muafakat Nasional dan Pemuda Negara. Kita sedar selepas puak-puak pengkhianat ini meninggalkan parti atau dipecat atau digantung oleh parti, mereka cuba berselindung di balik nama dua pertubuhan ini untuk menyerap masuk ke setiap Cabang. Terdapat ahli-ahli di akar umbi yang keliru dengan aktiviti mereka memandangkan dua pertubuhan ini dikawal serta mendapat dana dari beberapa bekas pemimpin Keadilan yang telah khianat dan bersama kerajaan pintu belakang sekarang.
Setelah menerima banyak aduan dari akar umbi, adalah wajar parti mengambil tindakan sedemikian agar dapat menghilangkan keraguan dan kesangsian pada semua ahli. Taktik puak pengkhianat untuk menyelinap masuk bagi memperluaskan pengaruh mereka di kalangan ahli parti dengan berselindung di balik pertubuhan seperti ini patut dihentikan segera. Tindakan Keadilan mendedahkan serta mengeluarkan surat pekeliling ini adalah merupakan satu tindakan bijak.
Jika sebelum ini mereka berasa selamat untuk bekerjasama dengan pengkhianat di bawah nama pertubuhan seperti ini, kali ini mereka tidak perlu menyesal sekiranya mereka dipecat. Ada yang menyatakan Keadilan tidak demokrasi dan menutup ruang kepada ahli bepersatuan atau terlibat dengan NGO. Jawapannya, tidak. Jika benar, mengapa dua pertubuhan ini sahaja yang dilarang? Mengapa tiada larangan kepada NGO lain? Jawapannya semua tahu. Keadilan tidak mahu ahli-ahlinya melibatkan diri dengan sebarang program, aktiviti dan gerakan dari kumpulan pengkhianat tidak kira apa jua jenamanya. Jika ada lagi pertubuhan atau NGO yang akan diwujudkan selepas ini yang melibatkan pengkhianat, wajarlah parti mengambil tindakan yang sama.
Kepada ahli-ahli yang mahu meneruskan kegiatan mereka dengan kedua-dua pertubuhan tersebut, mereka boleh terus berbuat demikian tetapi mesti bersedia untuk meninggalkan parti. Sudah tentu kumpulan pengkhianat akan meroyan sakan dengan tindakan tegas parti ini. Taktik mereka mudah dihidu dan akan digagalkan.