TIADA SALAHNYA TUN M DAN AHLI-AHLI BERSATU MAHU SOKONG PH ATAS KAPASITI INDIVIDU





Di dalam politik, kita mesti mencari seramai mungkin kawan dan mengurangkan seramai mungkin musuh.  Di dalam politik juga kena ada percaturan dan strategi serta maslahahnya, tetapi setiap percaturan itu mesti dilakukan dengan penuh kebijaksanaan.

Semua tahu, Bersatu kini bukan lagi di dalam gabungan PH setelah Presidennya mengistiharkan Bersatu keluar dari PH.  Ertinya, bukan PH yang membuang Bersatu.  Sama juga sewaktu di dalam PR dulu, Pas istihar keluar dari PR apabila menolak kerjasama dengan Dap dan Keadilan, atas alasan kita menentang Hudud.  Pas mahu bersama Umno kerana Umno pasti akan membantu Pas buat Hudud.  Begitu juga, Bersatu keluar dari PH atas alasan tidak mahu bersama Dap, tetapi bersedia untuk bersama Umno, Pas dan MCA, demi mahu tubuhkan kerajaan Melayu Islam yang lebih baik dari PH.

Terbukti sekarang, kerajaan pintu belakang hasil pengkhianatan ini lebih baik dari PH. Ekonomi bertambah baik, pengangguran bertambah kurang, pelaburan rancak, perkembangan Islam bertambah hebat, semua masjid penuh dengan berbagai kuliah, dan semua tempat maksiat telah ditutup. Mak Cik Kiah dari seorang penjual goreng pisang kini telah menjadi jutawan.  Tengok jumlah para menteri seramai 70 orang tidak termasuk beberapa duta khas bertaraf menteri dan para penasihat, itu pun sudah jauh mengatasi PH.  Kita dulu tidak mampu miliki seramai itu menteri dan duta khas kita dulu pun tidak bertaraf menteri.   Hebat kerajaan PKPB (Pemerintahan Kerajaan Pintu Belakang) !!

Berbalik kepada maudhuk asal.  Ada yang bertanya, wajarkah Tun M dan para pemimpin dan penyokong Bersatu menyokong PH?  Jawapannya, Tun M dan sesiapa pun dari Bersatu boleh sahaja untuk menyokong PH atas nama peribadi masing-masing, bukan atas nama parti Bersatu.  Bukan sahaja pemimpin atau ahli Bersatu, jika ada pemimpin atau ahli Umno atau Pas yang ingin menyokong PH, tiada masalah asalkan atas nama individu.  

Ertinya, sokongan mereka tidak membabitkan parti mereka kerana secara resminya Bersatu bukan lagi gabungan di dalam PH.  Tun M mengaku beliau masih lagi Pengerusi Bersatu, tetapi beliau juga tahu Presiden Bersatu telah membawa majoriti MPT  Bersatu untuk keluar dari PH.  Mana mungkin suku badan Bersatu bersama PH, sebahagian besar badan bersama kerajaan pengkhianat?  PH sebuah parti bermaruah tidak boleh terima kerjasama politik sedemikian.  Jangan perlekehkan PH. 

Untuk menjadikan Bersatu sebagai rakan kerjasama dengan PH seperti parti Warisan Sabah juga tidak masuk akal, selagi Bersatu masih bersama kerajaan pintu belakang sekarang.  Warisan Sabah tidak berpecah, partinya solid menyokong PH semenjak PRU14 yang lalu walaupun Warisan tidak berada di dalam gabungan PH.  Berbeza dengan Bersatu, batang tubuh parti tersebut kini berada di dalam kerajaan pintu belakang.  Hanya Tun M dan empat lima orang sahaja pemimpin Bersatu yang mahu bersama PH.  Mana mungkin PH boleh terima satu parti gabungan yang hanya ada empat lima orang pemimpin? 

Atas sebab itu, PH harus terbuka menerima sokongan dari beberapa individu dari Bersatu bukannya atas nama Bersatu.  Apabila mereka menyokong PH atas kapasiti individu, maka mereka tidak terikat dengan PH dalam apa jua bentuk rundingan di dalam Majlis Presiden PH. Tidak timbul soal PH perlu tabalkan Tun M sebagai bakal PM lagi atau sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.   

PH harus tegas di dalam soal ini.  Maksud saya, jangan sesekali anggap sokongan Tun M kepada PH itu merupakan sokongan Bersatu kepada PH.  Bagaimana kita mahu angkat Tun M sebagai pemimpin kita sedangkan parti beliau sendiri berada di pihak pengkhianat?  Bagaimana Tun M boleh berfungsi sebagai Ketua Pembangkang sedangkan Presiden partinya berada di pihak pengkhianat?  Tidak masuk akal langsung.  

Kesimpulannya, saya setuju agar PH terima sokongan dari sesiapa pun atas kapasiti individu bagi memperkuatkan sokongan kepada PH tanpa syarat.  Kita tahu, tidak semua ahli dan penyokong Bersatu itu setuju dan terima tindakan Presiden mereka untuk mengkhianati kerajaan PH.  Justeru itu, jika benar mereka tidak setuju, apa yang mesti mereka buat?  Biar mereka tentukan dan buat keputusan yang bijak.  Kita teruskan kerjasama sesama kita di dalam gabungan PH dan perkuatkan PH.  

Tidak perlu kita berselisih pendapat hanya kerana memikirkan masalah parti lain yang telah meninggalkan kita.  Biar mereka tentukan hala tuju mereka sendiri.  

WFAUZDIN NS