Pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bahawa semua Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak memegang jawatan menteri dan timbalan menteri akan dilantik mempengerusikan GLC, dengan sendirinya mengesahkan bahawa Muhyiddin Yassin sedang mengamalkan budaya “cash is king” untuk mengekalkan kuasanya.
Ia juga menunjukkan Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan memiliki sokongan majoriti yang pasti menjelang Sidang Parlimen pada 18 Mei depan sehingga perlu menyuap mulut Ahli-Ahli Parlimen dengan jawatan berpendapatan puluhan ribu setiap sebulan kepada mereka, walupun rakyat sedang dilanda kesusahan akibat wabak Covid-19.
Malah Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas mengesahkan semua Ahli Parlimen parti itu yang belum beroleh jawatan akan menerima lantikan masing-masing tidak lama lagi.
“Ahli Parlimen PAS ada 18 orang, lapan orang sudah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang (Hadi Awang) jadi duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah.
"Tinggal sembilan orang lagi yang belum ada jawatan. Alhamdulillah saya difahamkan semua Ahli Parlimen kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC,” ujar beliau.
Kenyataan Takiyuddin ini sudah semestinya benar kerana beliau adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kedudukannya berada di bawah dagu Perdana Menteri setiap hari.
Dengan ini, semua Ahli Parlimen kerajaan yang belum mendapat lantikan, khususnya daripada Pas, bolehlah berasa senang hati mulai sekarang.
Sudah tentu, lebih-lebih lagi kerana Takiyuddin adalah pemimpin Pas yang memperjuangkan Islam dan selalu berketayap putih, mustahil beliau mereka-reka cerita atau bercakap bohong mengenainya.
Cakap beliau tentunya perkara-perkara yang benar, tidak ada yang tidak benar, melainkan yang benar belaka.
Bak kata AR Tompel dalam filem P Ramlee, “takkan lebai nak menipu pulak”.
Begitu pun, keghairahan Muhyiddin mengagih-agihkan harta rampasan perang melalui lantikan dalam GLC kepada Ahli-Ahli Parlimen yang menjayakan tertubuhnya kerajaan tebuk atap akan menimbulkan beberapa kebimbangan, malah ketakutan yang mengerikan.
Pertama, keadaan ini memperlihatkan amalan budaya “cash is king” yang cuba dilakukan Muhyiddin jauh lebih teruk dan parah berbanding semasa Najib Razak dahulu.
Jika Najib menyuap ramai penyokongnya dengan wang tunai, Muhyiddin nampaknya mengagihkan jawatan dan kedudukan yang daripadanya akan membuatkan Ahli-Ahli Parlimen yang diberikan jawatan itu mampu memperolehi elaun mewah secara bulanan, sambil menggunakan GLC yang diketuai untuk pelbagai manfaat lainnya lagi.
Sorrylah Najib, nampaknya Muhyiddin sekarang sudah memintas anda sebagai raja segala raja kepada amalan “cash is king” dalam negara ini!!
Kedua, dengan melantik semua Ahli Parlimen penyokong kerajaan mengetuai GLC, bermakna faktor kelayakan, kemampuan, pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam hal ehwal syarikat dan perniagaan sebagai asas perlantikan seseorang itu telah diketepikan sama sekali.
Faktor kelayakan utama disisi Muhyiddin ialah mesti taat dan patuh kepada Perdana Menteri, walaupun mungkin ada sesetengah Ahli Parlimen yang dilantik itu hanya mempunyai pengetahuan berceramah, memberi kuliah di masjid dan membaca doa saja.
Jadi, dengan kedudukan itu, agak-agaknya selepas ini GLC yang dipengerusikan Ahli-Ahli Parlimen itu akan bertambah maju atau banyak yang lingkup dengan kerugian berganda-ganda setiap tahun?
Ketiga, memandangkan Ahli Parlimen yang dilantik itu sedar lantikan mereka bukan kerana kelayakan, kemampuan atau untuk memajukan GLC, tetapi semata-mata sebagai hadiah rampasan perang, maka dengan sendirinya mereka akan bebas melakukan segala-galanya tanpa gangguan.
Akhirnya, GLC lebih mungkin menjadi alat politik untuk mengukuhkan kedudukan, menambah pengaruh, mengekalkan keselesaan hidup sebagai wakil rakyat dan selebihnya untuk menambah kekayaan.
Untung rugi GLC yang daripada keuntungan itu dapat menyumbang kepada kedudukan kewangan negara bukan lagi jadi keutamaan dalam era Muhyiddin ini.
Akhirnya, katalah melalui lantikan Ahli-Ahli Parlimen itu mampu menyelamatkan Muhyiddin dalam usul undi tidak percaya di Parlimen pada 18 Mei nanti, tetapi menjelang kira-kira dua tahun lagi sebelum ketibaan PRU15, bukan saja banyak GLC akan hancur, bahkan negara ini juga akan jahanam jadinya.
Dengan ekonomi merudum susulan wabak Covid-19 yang dijangka lebih panjang, minyak tiada harga, cukai-cukai perniagaan berkurangan dan GLC banyak yang rugi kerana sudah jadi alat politik dan untuk mengekalkan kuasa, tanpa disedari, Muhyiddin melalui keghairahannya bakal menghadiahkan kehancuran untuk generasi kita yang akan datang.
(ShahbudinHusin 13/04/2020)