Khalid tempelak Afif Bahardin, nampak sangat cuba ‘backup boss’

Khalid tempelak Afif Bahardin, nampak sangat cuba ‘backup boss’

Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin dilabel sebagai mahu ‘back-up’ boss selepas tampil dalam satu bebenang Twitter yang mempertahankan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung perkhidmatan gunting rambut yang dibenarkan beroperasi.
Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad berkata, dalam ‘thread’ tersebut, Afif juga secara tiba-tiba turut menghuraikan kelebihan perkhidmatan gunting rambut mengikut kajian perubatan yang tiada kaitan dengan topik ancaman Covid-19.
Menurutnya juga, secara jelas apa yang diumumkan Azmin Ali adalah bercanggah dengan kenyataan Pengarah Kesihatan yang meminta kerajaan untuk menimbangkan cadangan tersebut.
“Apa yang diumumkan Azmin disanggah Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Maka, nampak sangat Dr Afif datang untuk nak bela Azmin.
“Siap tekankan ikut kajian perubatan bahawa perkhidmatan ini boleh bantu kurangkan tekanan darah tinggi. Ini semua nampak nak ‘backing’. Orang cakap pasal ancaman Covid-19 ini, kamu nak cakap pasal tekanan darah.
“Ini menyedihkan. Budaya politik seperti ini masih wujud dan masih subur,” katanya dalam sesi live eksklusif bersama Malaysia Dateline pagi tadi.
Terdahulu, kerajaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan MITI semalam, menyenaraikan sembilan sektor ekonomi termasuk perkhidmatan gunting rambut asas yang boleh membuat permohonan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April.
Semalam juga, Noor Hisham menasihatkan kerajaan agar mengekalkan tindakan digunakan dalam pelaksanaan PKP fasa satu dan dua bagi tempoh lanjutan bermula Rabu ini.
Malah, beliau menegaskan tindakan seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga dan menyeru agar semua orang mengamalkan penjarakan fizikal.
Sementara itu, mengulas situasi berlaku ketika ini yang memperlihatkan beberapa kementerian menjadi bahan jenaka kepada rakyat, Khalid berkata ia adalah kerana kerajaan tidak mempunyai satu manifesto dan dasar perjuangan yang jelas.
Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan gandingan ahli Parlimen dan bukannya gabungan parti politik.
Maka dengan itu katanya, apa yang mengaitkan kesatuan mereka bersama hanyalah semata-mata manfaat dan kepentingan yang diperolehi setiap ahli Parlimen.
“Bila ianya merupakan gandingan ahli parlimen, maknanya apa yang mengaitkan antara mereka adalah apa manfaat dan kepentingan yang setiap ahli parlimen perolehi.
“Tak ada satu dasar yang jelas. Maka, dasar kesatuan yang dapat diwujudkan apabila ianya merupakan gabungan individu dan bukan gabungan parti, adalah melantik mereka sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.
“Bila ini berlaku, kita dapati kerjasama antara mereka tak berapa bagus, kordinasi kurang baik. Individu yang dilantik jadi Menteri pun tak tahu dasar apa-apa lalu akhirnya bercanggah dan datang yang pelik-pelik,” tegasnya.