AKU JAWAB ORANG TANYA.


Malek Hussein

‪Menjawab kekawan yang bertanya:‬

‪“Semasa Pak Malek anggota parti Pas boleh terangkan tentang Anwar Ibrahim semasa itu dikalangan ahli Pas? Rata rata menyokong atau menolak Anwar Ibrahim?”‬

‪Aku menjawab berdasarkan pengalaman peribadi yang tidak mewakili sesiapa:‬

‪“Aku tahu nama Anwar Ibrahim sewaktu aku menjadi pelajar Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam 1973-1976. Aku tak pernah bertemunya semasa aku pelajar di ITM.‬

‪Pada 3 Disember 1974 demonstrasi lebih 20,000 pelajar-pelajar dari berbagai universiti dan institut pengajian tinggi meletus di Kuala Lumpur bagi membantah isu kemiskinan rakyat di Baling, Kedah akibat kejatuhan teruk harga getah. Ekoran demo itu, beberapa pemimpin pelajar dan tokoh ditahan oleh Kerajaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).‬

‪Kemudian pada tahun 1975 Kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk mencengkam pergerakan mahasiswa di semua universiti awam. ‬

‪Kerajaan memperluaskan cengkaman itu ke ITM dengan menggubal Akta ITM 1976. Para pelajar ITM bangkit membantah Akta ITM. Aku terlibat dalam menentangnya dan aku dipecat sebagai pelajar ITM atas arahan Menteri Pelajaran ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.‬

‪Aku kembali ke kampung setelah dipecat dan mengambil peperiksaan Association of Certified Accountants (ACA) sebagai private candidate. Aku belajar bersendirian, sambil bekerja menjadi pembantu jualan di sebuah kedai runcit di kampung.‬

‪Ketika aku di kampung, Anwar Ibrahim dibebaskan tanpa syarat dari tahanan ISA pada November 1976.‬

‪Selepas dibebaskan, Anwar selaku Presiden ABIM dan wakil Asia Pasifik dalam World Assembly of Muslim Youth (WAMY) menganjurkan Seminar Dakwah Belia Islam Asia di Kuala Lumpur yang diadakan pada Februari 1977.‬

‪Tanpa disangka, ketika aku di kampung itu, Anwar Ibrahim hantar rakan aku, Wan Nordin Che Murad untuk menawarkan aku bertugas bagi menjayakan Seminar Dakwah Belia Islam Asia.‬

‪Aku menerimanya, dan bergegas ke KL pada penghujung 1976. Aku menemui Anwar Ibrahim di Ibupejabat ABIM Pusat di Kampung Baru. Itulah kali pertama aku dan Anwar bertemu.‬

‪Episod-episod demonstrasi mahasiswa 1974, penganyangan gerakan pelajar melalui AUKU 1975, penggubalan Akta ITM 1976, dan penahanan Anwar Ibrahim di bawah ISA 1974-1976 itu berlaku ketika PAS berada dalam Kerajaan sebagai komponen Barisan Nasional (BN) sejak 1974.‬

‪Pada 1977 berlaku krisis Menteri Besar PAS Negeri Kelantan. Kemelut krisis itu mengakibatkan Kerajaan BN menggubal Akta Darurat Kelantan yang ditentang oleh PAS. Akibatnya PAS disingkir keluar dari BN.‬

‪Darurat Kelantan diisytiharkan pada 9 November 1977 dan berakhir pada 12 Januari 1978. Ia disusuli dengan pilihanraya umum Dewan Undangan Negeri Kelantan yang diadakan pada 11 Mac 1978.‬

‪Setelah disingkir dari BN, PAS berpecah dan parti BERJASA ditubuhkan hasil perpecahan dalaman PAS.‬

‪Dalam situasi PAS terhimpit dengan serangan BN dan BERJASA dalam menghadapi pilihanraya umum DUN Kelantan, Anwar Ibrahim mengambil pendirian menyokong PAS. Anwar kerahkan seluruh kekuatan ABIM mempertahankan PAS di Kelantan. Aku terlibat dalam kerahan itu, dan aku mengikuti Anwar berkempen menyokong PAS. Namun, disebalik sokongan itu, PAS kalah teruk.‬

‪PAS pada masa itu dipimpin oleh Datuk Asri Muda selaku Yang Di-Pertua PAS Pusat. Kepimpinannya dikecam dan dianggap oleh ramai kalangan dalam parti sebagai punca kemerosotan sokongan rakyat umum kepada PAS. Terdapat kalangan pimpinan PAS Pusat ketika itu berpendirian Asri wajar diundurkan dan digantikan oleh Anwar Ibrahim. Namun demikian, Anwar menolaknya.‬

‪Sementara itu, pada 1979 aku bermasalah dengan Presiden ABIM, Anwar Ibrahim kerana aku menganjurkan demonstrasi membantah campurtangan Soviet Russia di Afghanistan. Bantahan yang aku anjurkan itu tidak direstui oleh pimpinan ABIM Pusat, dan aku menentang dan mengecam keputusan mereka. Lalu aku dipecat dari ABIM yang dipimpin Anwar Ibrahim pada Januari 1980.‬

‪Dalam tahun 1981, Subky Latif seorang tokoh wartawan telah dipilih sebagai Yang Di-Pertua PAS Setapak. Selepas pemilihannya, Subky menemui aku dan mengajak aku menyertai PAS dan bercadang melantik aku sebagai Setiausaha PAS Kawasan Setapak, Wilayah Persekutuan.‬

‪Walaupun aku dipecat dari ABIM, hubungan peribadi aku dan Anwar tidak putus. Apabila Subky mencadangkan aku sertai PAS, aku merujuk kepada Anwar untuk membuat pertimbangan.‬

‪Aku ingat lagi kata-katanya apabila aku nyatakan Subky Latif mengundang aku menyertai PAS.‬

‪Anwar mempersoalkan aku, “Mana mungkin orang seperti kamu boleh menerima dan duduk di bawah kepimpinan [Datuk] Asri? Mana mungkin kamu boleh bekerja dengan orang seperti [Datuk] Abu Bakar Umar dan [Datuk] Sudin Wahab?”‬

‪Aku membalas Anwar, “I join PAS because you sacked me from ABIM. Where else can I go?”‬

‪Mendengar itu, Anwar tak sanggahkan aku lagi. Cuma dia berpesan dengan serius kepada aku, “Bantu Ustaz Fadzil Noor.”‬

‪Dalam tahun 1981, Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Kemudiannya pada 1982 Anwar menyertai UMNO. ‬

‪Aku dan ramai anak muda penyokong PAS amat kesali dengan tindakan Anwar sertai UMNO dan menyokong kepimpinan Dr Mahathir. Aku mencemuh pendapatnya yang kononnya untuk mengIslamkan UMNO. Ketika itu aku berpendirian, mana mungkin lubang penuh najis boleh dibersihkan dengan masuk ke dalam lubang najis itu?‬

‪Asri letak jawatan sebagai Yang Di-Pertua PAS Pusat di dalam Muktamar Tahunan PAS ke-28 pada 1982 dengan perwakilan sebulat suara menolak Ucapan Dasarnya. Sejak 1981 lagi, aku terlibat aktif menentang kepimpinan Asri. ‬

‪Bersama rakan-rakan seperjuangan, aku juga terlibat aktif menggerakkan usaha mencorakkan perubahan dalam PAS dengan mengemukakan gagasan Kepimpinan Ulama dengan mencontohi Iran yang berjaya menumbangkan diktator Shah Iran melalui perjuangan kebangkitan rakyat yang dipimpin oleh para ulama.‬

‪Dalam UMNO, Anwar Ibrahim dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada 1982. Aku dan Anwar bertembung semasa beliau berceramah di Bukit Payong, Terengganu. Aku menyahut cabaran Anwar ketika dia mencabar PAS mengenai hujahnya menyertai UMNO. Aku melangkah ke depan dan menjawab cabaran Anwar. Hampir kecuh jadinya majlis ceramah itu.‬

‪Kami bertembung lagi dalam pilihanraya kecil parlimen Ulu Muda, Kedah pada 1983. Dia buat cabaran kepada PAS, dan segera aku meluru ke pentas untuk menyahut cabarannya. Namun, aku dihalang oleh pengerusi majlis.‬

‪Pendek kata, sewaktu aku menjadi ahli PAS dahulu, aku bersedia berdebat mendepani Anwar Ibrahim sebagai pemimpin UMNO di khalayak ramai, sekalipun diadakan dalam majlis pentas UMNO.‬

‪Apapun, sikap aku tidaklah mencerminkan sikap ahli-ahli PAS pada keseluruhannya. Semasa Anwar Ibrahim dalam UMNO, memanglah ramai ahli-ahli PAS menolak dan membencinya. Namun, aku tak nampak mereka itu berani mendepani Anwar untuk berdebat dan berhujah waras. Mereka ramainya hanya sekadar memekik kata-kata liar, menjerit slogan dan melaungkan bertakbir.‬

‪Apabila Anwar Ibrahim dipecat dari Kabinet pada 2 September 1998 dan UMNO pada esoknya, rata-rata ahli PAS berubah selera sertamerta. Namun, mereka tidak dilihat bersama anak-anak muda aktivis sosial semasa ledakan Reformasi bagi menuntut perubahan dalam negara.‬

‪Sebaliknya ketika itu, PAS sibuk mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan politik untuk menambahkan keahlian parti. Ketika anak-anak muda bertarung di jalanraya menghadapi kezaliman dan penindasan pemerintah, PAS sibuk mengumumkan keanggotaannya bertambah setiap minggu.‬

‪Kesimpulannya, pendirian umum PAS terhadap Anwar Ibrahim tidak sangat berdasarkan prinsip menentang kezaliman dan menegakkan keadilan, tetapi lebih menggagasi kepada peluang dan kepentingan politik.‬

‪Aku tidak bermaksud mencemuh penyokong-penyokong fanatik PAS, tetapi sekadar mengingatkan diri sendiri dan diri kamu bahawa dalam apa jua keadaan kita tidak harus menunggangi dan memperalatkan penderitaan orang lain untuk kepentingan duniawi diri. Jika demikian, itu cuma dorongan nafsu yang menampilkan perbuatan politik oportunis tahap paling menjijikkan dan menzahirkan akhlak berpolitik yang tersangat rendah lagi hina.‬