Di mana suara Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional?

Di mana suara Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional?


Baru sebulan MCA menjadi sebahagian dari Kerajaan dalam Perikatan Nasional (PN), parti tersebut telah menunjukkan taring dan bersuara lantang terhadap kerajaan PN dengan mempersoalkan secara terbuka isu isu penting. Hampir dua tahun PH memerintah perkara ini tidak pernah terjadi secara demikian.
Minggu pertama PN menjadi kerajaan, Presiden MCA, Dato Wee Ka Siong, dengan lantang menyatakan kerajaan PN ini bukan berteraskan konsep kerajaan Melayu-Islam seperti yang dikatakan. Parti-parti bertunggak dominan Melayu-Islam iaitu PBBM, Pas dan Umno membisu seribu bahasa. Tidak seorang pun pimpinan ketiga-tiga parti Melayu-Islam tersebut berani bersuara.
Semalam pula Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong, menghina Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat – YB Siti Zailah Yusof dari Pas dengan menyatakan beliau ‘tidak layak’ menjadi seorang Timbalan Menteri.
Serangan perlantikan tersebut berkaitan dengan kenyataan isu hubungan rumah tangga oleh YB Siti Zailah. Serangan tersebut bukan atas hujah isu tetapi lebih ke atas kelayakan diri Siti Zailah dan kewajaran perlantikan tersebut yang dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong.
Walaupun pagi ini Nicole baru minta maaf kesilapan tersebut kononnya atas salah fakta isu. Tetapi perkara pokok serangan tersebut bersikap pribadi kelayakan YB Siti Zailah dan juga implikasi perlantikan ke atas seorang yang kononnya tidak layak dan tidak patut di lantik oleh pihak berkuasa berkenaan.
Perlantikan seorang Timbalan Menteri tersebut berasas atas pengesyoran Presiden Parti Pas dan dicadangkan oleh Perdana Menteri untuk perkenan ke bawah Duli Yang Di Pertuan Agong. Menyatakan beliau tidak layak dianugerah perlantikan tersebut seolah-olah mempersoalkan kewajaran dan tidak menghormati pemilihan dibuat oleh ketiga-tiga peringkat yang terlibat.
Mengapakah MCA begitu berani dan minat menyerang dan meremehkan Pas serta asas perjuangan Islam Pas dari dahulu lagi? Ianya mula kelihatan pada sidang Parlimen lepas di mana 5 orang ahli Parlimen Pas sanggup beratur berdiri diam di belakang Presiden MCA, Wee Ka Siong, di Parlimen semasa beliau menyerang usaha Kerajaan PH masa itu yang dalam proses berunding untuk membantu hampir satu juta ahli Nafas yang terdiri kebanyakannya oleh petani serta nelayan miskin Melayu-Islam.
Ahli Parlimen Pas telah mula kelihatan sanggup tunduk dipimpin oleh Menteri MCA-BN asalkan dijanjikan jawatan dalam kerajaan yang sedang dirancang untuk diambil alih, walaupun isu itu usaha mulia untuk membantu golongan Melayu Islam.
Walaupun ramai yang lain yang mengkritik kenyataan YB Siti Zailah tetapi ianya ditumpukan kepada tajuk isu menangani keganasan rumah tangga dan bukan serangan peribadi atau perlantikan beliau sebagai TImbalan Menteri. Serangan pribadi Nicole sangat tidak beradab terutamanya terhadap seorang yang hampir sekali ganda umur beliau yang baru 38 tahun. Semua bangsa dan agama meminta kita menghormati orang tua.
Sehingga pagi ini masih belum kedengaran seorang pun pemimpin kanan Pas membela penghinaan MCA terhadap YB Siti Zailah walaupun ramai yang faham permintaan maaf itu telah banyak menjejaskan imej dan kredibiliti YB Siti Zailah.
Walaupun mungkin ada kelemahan isu kenyataan Siti Zailah biarlah saya menyuarakan ketidakwajaran serangan pribadi yang menyoal kelayakan beliau oleh MCA.
Saya yang mengenali YB Siti Zailah kesal rakan-rakan satu parti yang kanan dari Pas tidak bersuara lebih awal lagi membela beliau.
Apakah yang dikhuathiri oleh pimpinan Pas yang mendakwa memimpin umat Melayu-Islam untuk bersuara ke atas sikap MCA yang makin lantang dan biadab?
Adakah pangkat kedudukan dalam Kerajaan yang ampuh lagi penting dari asas perjuangan yang dijanjikan?
Hingga sekarang MCA, Umno dan PPBM kelihatan kehadapan memimpin.
Bilakah Pas akan menunaikan janji membela prinsip memimpin melalui konsep Islam – Melayu yang di laungkan selama ini yang di harap harapkan oleh penyokong mereka ?
Adakah pemimpin Pas kini selesa dengan konsep Islam dipimpin di bawah kerajaan PN, dan bukan lagi Islam yang akan memimpin?

No comments: