UMNO LEBIH MUDAH MENANG BERBANDING PILIHANRAYA 2023


Bagi UMNO, untuk menyelesaikan masalah ketidakpuasan hati mereka terhadap Muhyiddin Yassin, jawapannya hanyalah pembubaran Parlimen supaya pilihanraya baru dapat diadakan.
Ini sekaligus bermakna, UMNO sendiri tidak yakin Muhyiddin sedia mendengar bantahan dan rungutan mereka, seterusnya melakukan pembetulan berhubung apa yang dibantah itu.
Tetapi, dalam hal ini pun, UMNO nampaknya masih berbeza pendapat mengenai perkara itu.
Zahid Hamidi dan Najib Razak antaranya, mengatakan sokongan UMNO kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional atau PN adalah sementara saja iaitu sehingga pembubaran Parlimen dan PRU15 diadakan.
Untuk itu, kedua-kedua mereka menyatakan komitmen UMNO untuk terus bersama dengan Pas dalam Muafakat Nasional yang telah mereka bentuk sebelum ini.
Makna kata, UMNO hanya akan bersama PN sehingga PRU15 saja dan selepas itu hanya akan bersama Pas dalam Muafakat Nasional serta akan meninggalkan Muhyiddin dengan haluannya sendiri.
Dalam hal ini, Zahid Hamidi dan Najib seolah-olah sedia bersama mengekalkan kerajaan PN sehingga tempoh matang PRU15 diadakan pada tahun 2023.
Ertinya, di sebalik tidak puas hati, marah dan kecewa dengan susunan kabinet yang membelakangkan UMNO yang dilakukan Muhyiddin, Zahid Hamidi dan Najib tidak kisah berada sekitar dua tahun lebih lagi dalam kerajaan PN yang diketuai Muhyiddin ini.
Begitu pun, beberapa pemimpin UMNO lain seperti Annuar Musa dan Tajuddin Abdul Rahman pula mahukan pilihanraya diadakan dengan kadar yang segera.
Tajuddin yang berang dengan susunan kabinet Muhyiddin, khususnya tentang pemberian keistimewaan kepada Azmin Ali yang seolah-olah berjawatan TPM berkata, hanya dengan pembubaran Parlimen dapat menyelesaikan masalah yang timbul sekarang.
Annuar dalam ciapan Twitter yang lebih awal daripada itu turut memberi gambaran yang sama iatu bersiap sedia menghadapi PRU.
Maka, isunya ialah sama ada UMNO mahu PRU diadakan sekarang atau pada 2023?
Tidak dinafikan bahawa ketika PH berkuasa, UMNO bersama dengan Pas dalam Muafakat Nasional lebih mendapat sokongan rakyat.
Ia bukan saja disebabkan PH gagal berfungsi dengan baik sebagai kerajaan lantaran tidak serius menunaikan janji manifesto, bahkan juga kerana sikap Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri yang lebih banyak bermain politik daripada menyelesaikan isu-isu ekonomi untuk rakyat.
Sebab itu, beberapa PRK seperti Cameron Highland, Semenyih, Tanjung Piai dan Kimanis, PH gagal mendapat tempat di hati rakyat.
Kekalahan dalam banyak PRK itu, khususnya di Tanjung Piai dengan undi lebih 15 ribu, ia sebenarnya adalah protes yang nyata terhadap kepimpinan Tun Mahathir.
Dengan itu, jika momentum ini dapat dikekalkan, banyak pihak meramalkan Muafakat Nasional mampu menumbangkan PH dalam PRU akan datang, terutama jika Tun Mahathir mengengkari janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.
Namun demikian, keadaan sekarang sudah berbeza di mana UMNO dan Pas sudah merupakan sebahagian kerajaan dalam gabungan PN yang berjaya menumbangkan PH melalui pintu belakang.
Berikutan sudah menjadi kerajaan, penilaian rakyat kepada UMNO dan Pas tidak lagi sama seperti sebelum ini.
UMNO kini diperhati sama ada ia dapat berfungsi dengan baik melaksanakan banyak perkara yang pernah dibangkitkan semasa menjadi pembangkang selama 21 bulan sebelum ini.
Begitu juga dengan Pas, oleh kerana semasa menjadi pembangkang, mereka hanya tahu membangkang dan menuduh itu tak betul, ini betul, setelah menjadi kerajaan sekarang, rakyat akan memerhati prestasi menteri dan timbalan menterinya pula.
Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan dan Khairuddin Attakiri adalah antara fokus dan perhatian utama rakyat berkaitan isu alam sekitar, RUU355, hudud dan meningkatkan ekspot minyak sawit.
Jika mereka juga gagal melakukan sesuatu atau berfungsi dengan baik mengotakan apa yang pernah diperkatakan sebelum ini, ia sudah tentu akan menyebabkan markah Pas turut merudum di mata rakyat.
Dalam hal ini, harus disedari jika PRU15 diadakan pada 2023, dalam tempoh lebih dua tahun ini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku terhadap UMNO dan Pas dari segi penilaian rakyat terhadap mereka.
Ini berbeza jika PRU diadakan sekarang di mana tembelang dan kelemahan mereka belum begitu terdedah lagi, maka harapan untuk menang jauh lebih cerah lagi.
Lebih-lebih lagi dalam PN ini, walaupun UMNO memiliki kerusi terbanyak, Perdana Menteri adalah daripada Bersatu yang menang hanya 13 kerusi dalam PRU14 lalu, begitu juga dengan Pas, meski menyumbang 18 kerusi, sebaliknya Kumpulan Azmin yang hanya ada 10 kerusi lebih diberi keistimewaan oleh Muhyiddin.
Untuk itu, jika UMNO dan Pas mahu menang, mereka mesti berbuat sesuatu agar PRU diadakan dalam waktu terdekat ini, bukan menunggu Parlimen dibubarkan pada tahun 2023.
Khususnya buat UMNO, kalau rasa tidak bahagia dalam perkahwinan politik sekarang dengan Muhyiddin melalui PN, buat apa menyeksa diri untuk duduk serumah lagi.
Tinggalkanlah PN dan biar Parlimen dibubarkan kerana peluang untuk menang jika PRU diadakan sekarang jauh lebih cerah berbanding keadaan yang mungkin tidak menentu pada tahun 2023 nanti.
Yang lebih penting, jika menang melalui Muafakat Nasional bersama Pas, UMNO lebih cepat dapat kembali menjadi “tuan sebenar” dalam kerajaan, bukan lagi sekadar “penumpang kelas tiga” seperti bersama PN sekarang ini. (ShahbudinHusin 15/03/2020)

No comments: