Tiada alasan wajarkan PH digulingkan, kata Mujahid




Tiada alasan wajarkan PH digulingkan, kata Mujahid
Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, membangkitkan persoalan apakah alasan sebenar yang menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggulingkan Pakatan Harapan (PH) yang tidak sampai dua tahun mentadbir negara.
Kata beliau, adakah PH terbabit dengan salah laku rasuah sehingga adanya individu yang sanggup membentuk kerajaan pintu belakang yang dianggap tidak bermoral.
Menurutnya, tidak boleh diterima bagaimana sebuah kerajaan yang memerangi rasuah akhirnya ditumbangkan oleh individu yang tidak diketahui tujuannya.
“Dengan berlakunya rampasan kuasa, saya jadi tertanya-tanya. Kami digulingkan kerana apa? Adakah kerana kita rasuah? Sedangkan saya faham, rakyat bagi undi pada kami sebab nak lawan rasuah.
“Jadi kami hadir untuk melawan rasuah dengan meletakkan dasar kerajaan yang telus, ‘transparent’ dan bertanggungjawab. Malah, kita lancarkan Pelan Antirasuah Nasional.
“Mana ada sebuah negara yang meletakkan dasar memerangi rasuah, akhirnya ditumbangkan oleh pengkhianat yang menolak mandat rakyat,” katanya dalam satu siaran langsung Facebook Pertahankan Mandat Rakyat, di Parit Buntar semalam.
Katanya, kerajaan yang terbentuk sekarang juga tidak mempunyai manifesto kepada rakyat melainkan bertujuan semata-mata mahu menjatuhkan PH.
“Apabila sebuah kerajaan terbentuk bukan kerana mandat, mereka tak bawa apa-apa manifesto dan visi melainkan dihimpunkan atas kepentingan peribadi dan ambil kesempatan dengan alasan PH dikuasi DAP.
“Maka, dengan satu rumusan mudah, mereka ambil langkah khianat sehingga menjejaskan mandat rakyat,” tegas Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Dalam pada itu, Mujahid yang juga bekas Menteri Agama itu berkata, keputusan awal PH yang melakukan pengisytiharan harta merupakan salah satu tindakan utama bagi membanteras rasuah dalam kalangan pemimpin.
Beliau turut mengingatkan tentang dua parti terbesar dalam negara yang bersepakat menolak untuk mengisytiharkan harta mereka.
“Urustadbir kita ini ada masalah ke sampai orang jahat tolak jatuhkan kami? Lihat sahaja masa awal-awal kita naik, semua isytihar harta. Tak pernah ada dalam sejarah.
“Yang tolak (isytihar) siapa? Pas dan Umno juga,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia berjaya memperbaiki reputasinya dalam Indeks Persepsi Rasuah yang mencatat negara berada di kedudukan ke-51 pada tahun 2019 berbanding tangga ke-61 pada tahun 2018.
Indeks tersebut meningkat secara mendadak terutama selepas enam bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan dengan jumlah skor iaitu 53 berbanding hanya 47 pada tahun 2018.
Skor dibaca dari 0 (rasuah terburuk) sehingga ke 100 (negara paling bersih