Guan Eng arah peguam saman ‘Papa Azri’ kerana sebar berita palsu berkait anak.Rasanya orang yang sama kena saman 1 juta dulu.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, beliau mengarahkan peguam mengambil tindakan terhadap pemimpin Pemuda Umno dan penyokong BN dan PAS kerana menyebarkan berita palsa mengenai anaknya.
PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini memberitahu beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan terhadap seorang pemimpin Pemuda Umno dan beberapa penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS yang menyebarkan berita palsu terhadap anaknya.
Lim berkata, pemimpin Umno yang menggunakan nama “Papa Azri” mula menyebarkan penipuan mendakwa beliau pergi ke Singapura pada 29 Feb lalu selepas mendapati anaknya ditahan di Lapangan Terbang Changi kerana membawa wang sebanyak RM2 juta tanpa membuat pengisytiharan.
“Berita ini kemudian tersebar pantas dalam kalangan kumpulan penyokong BN dan Umno, terutamanya di laman web mereka.
“Bahkan Media Chinese International Limited (MCIL) juga terlibat dalam perbuatan ini dalam kesungguhan mereka untuk mencemar nama pimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Satu akhbar mereka sudah menyiarkan berita palsu ini tanpa sebarang pengesahan profesional. MCIL terdiri daripada Sin Chew, Guang Ming, China Press dan Nanyang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menolak laporan mendakwa seorang anak pemimpin kanan PH ditahan pihak berkuasa Singapura kerana membawa lebih RM2 juta yang tidak diisytiharkan.
Jelas Lim, beliau berharap polis dapat mengambil tindakan tegas dan menahan pihak yang menyebarkan berita palsu itu, yang secara tidak langsung sudah menyakiti individu tidak bersalah, selain melindungi rakyat Malaysia lain.
“Keluarga saya marah dengan tuduhan yang tidak bermaruah seperti ini yang menjadikan anak kami sebagai sasaran sedangkan mereka tidak pun terlibat dengan politik.
“Adakah Umno akan mengambil tindakan terhadap pemimpin dan penyokong mereka yang terlibat dalam perbuatan yang haram, tidak beretika dan tidak bermoral seperti ini?” soalnya.
Lim mendakwa, ini bukan kali pertama “Papa Azri” menyerang anaknya.

No comments: