Strategi penstrukturan semula Tabung Haji membuahkan hasil




Strategi penstrukturan semula Tabung Haji membuahkan hasil
AJK Pimpinan Nasional AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, strategi penstrukturan semula Tabung Haji (TH) di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membuahkan hasil.
Katanya, agihan keuntungan Tabung Haji kepada para pendeposit Muslim untuk tahun 2019 telah meningkat lebih daripada 133% atau RM1.2 bilion kepada RM2.1 bilion.
Jelas beliau, ia tercapai selepas strategi pelaburan TH telah ditambah baik dan kedudukan kewangan insititusi Islam tersebut telah dimantapkan.
“Bukan itu sahaja, Kerajaan PH melalui inisiatif penstrukturannya juga telah menampung defisit Tabung Haji sebanyak RM10 bilion menerusi suntikan dana RM10.3 bilion.
“Suntikan dana ini dibuat menerusi pengambilalihan aset-aset Tabung Haji bernilai RM9.63 bilion oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (entiti khas di bawah Kementerian Kewangan) tetapi telah dibayar RM19.9 bilion.
“Ini bermaksud Kerajaan PH telah membayar RM10.3 bilion melebihi nilai sebenar aset. Semua aset yang diambil alih ini adalah aset-aset yang nilai semasanya adalah di bawah kos pelaburan asal dan aset-aset yang tidak menjana keuntungan atau mempunyai margin keuntungan yang rendah termasuk perniagaan ladang kelapa sawit dan perhotelan,” kata Adun Permatang Pasir itu dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, walaupun ada yang mengkritik pengambilalihan aset ini, ramai tidak menyedari bahawa jumlah aset Tabung Haji setakat 31 Disember 2019 bernilai RM74.3 bilion berbanding RM70.3 bilion pada tahun 2017 di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya, walaupun TH rugi dalam tahun 2017 dengan defisit RM4.1 bilion (liabiliti RM74.4 bilion berbanding aset RM70.3 bilion) sepertimana yang diumumkan syarikat audit bebas PriceWaterhouseCoopers(PWC), namun keuntungan masih dibayar ketika itu daripada sumber wang pendeposit dan bukan keuntungan perniagaan sebenar.
“Tindakan ini bagi mengekang kemarahan pendeposit sungguhpun ianya bertentangan dengan konsep kewangan, syarie dan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.
“Walau bagaimanapun, setelah PH melakukan pelan pemulihan, TH pada hari ini berada dalam kedudukan kewangan yang jauh lebih mantap berbanding pada tahun 2017 dan membayar keuntungan berdasarkan keuntungan perniagaan sebenar.
“Agihan keuntungan TH akan terus meningkat sekiranya prinsip-prinsip urustadbir baik insititusi itu yang diperkenalkan dan dilaksanakan ketika pemerintahan PH diteruskan.
TH telah mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat (hibah) sebanyak 3.05% kepada semua pendepositnya.

No comments: