RAYUAN JUST STAY AT HOME UNTUK KEBAIKAN KITA SEMUA.



Selepas mengumumkan sekatan pergerakan pada Isnin lalu, Muhyiddin Yassin sekali lagi muncul dengan rayuan secara langsung malam ini meminta semua rakyat agar duduk di rumah masing-masing sehingga 31 Mac ini.
“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur.
“Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Kalau di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.
“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Pergilah balik ke kampung waktu yang lain.
“Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini dulu,” kata Perdana Menteri dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung melalui kaca TV.
Menurut beliau, perlunya semua orang mematuhi arahan berada di rumah dan tidak bercampur gaul dengan orang lain adalah untuk memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan dengan segera.
Apabila rantaian itu dapat diputuskan, kemungkinan ia terus merebak akan dapat dikawal.
Jika tidak, tambah Muhyiddin lagi, tempoh kawalan pergerakan selama dua minggu yang dikuatkuasakan sekarang ini mungkin terpaksa disambung lagi.
Walaupun mungkin bagi sesetengah orang, berada di rumah tanpa keluar ke mana-mana selama dua minggu adalah sesuatu yang menyeksakan, tetapi kepentingan menjaga nyawa diri sendiri dan keluarga haruslah menjadi keutamaan pada ketika ini.
Di rumah, dengan duduk bersama keluarga dan anak-anak, banyak perkara dalam usaha mengukuhkan ikatan kekeluargaan dapat dilakukan secara bersama.
Ini sebenarnya adalah bonus dalam kehidupan yang tidak selalu kita perolehi.
Jika selama ini kita sibuk bekerja dan terkejar-kejar dengan banyak urusan lain sehingga anak membesar pun tidak begitu disedari, inilah masa terbaik untuk membayar semula “hutang-hutang kasih sayang” yang pernah kita abaikan sebelum ini.
Oleh itu, dengan “just stay at home” selama dua minggu, selain dapat memastikan kita sekeluarga terhindar daripada wabak merbahaya ini, ia juga akan memastikan hubungan dengan ahli keluarga bertambah erat lagi.
Tidak usah dirungut atau dibantah arahan dan rayuan kerajaan ini kerana akhirnya, semua ini adalah untuk kepentingan kita juga.
Dengan 790 kes setakat hari ini, esok lusa pasti ia akan meningkat lagi, ancaman wabak Covid-19 ini tidak harus dipandang ringan atau sebelah mata.
Bermula dengan menjaga kesihatan keluarga masing-masing dengan sebaiknya, duduk di rumah selama dua minggu ini, negara kita pasti akan selamat daripada ancaman wabak ini sepenuhnya tidak lama lagi.
Selebihnya, kepada Allahlah kita berserah. (ShahbudinHusin 18/03/2020)