Anwar mampu laksanakan janji manifeso PRU PH
Peralihan kuasa perdana menteri daripada Tun Mahathir perlu disegerakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar lebih mudah janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dilaksanakan.
Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata, Majlis Presiden PH perlu menimbangkan peralihan kuasa awal kerana Anwar memiliki pasukan penulis manifesto dan faham apa yang perlu dilakukan dengan janji-janji pilihan raya umum ke 14 lalu.
“Wong Chen, Rafizi (Ramli), Dr Rais (Husin), Dr Ong Kian Ming, Tony Pua – ini pasukan yang menulis manifesto itu dan tiada satu pun antara mereka adalah menteri.
“Mereka yang faham tidak ada dalam Kabinet. Mereka yang tidak membaca manifesto ada dalam Kabinet dan itu sebabnya mereka kata sukar melaksanakannya,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Leong menjawab soalan mengapa PH lambat memenuhi janji manifesto dan kenapa ahli Parlimen bercakap mengenai isu peralihan kuasa itu dalam forum awam.
“Kita ada perdana menteri yang menunjukkan beliau tidak percaya dengan manifesto itu dan itu sebabnya perlu untuk kita membuat perubahan untuk peralihan kuasa kepada mereka yang percaya dan Kabinet yang mempercayainya,” kata Leong.
Leong antara tiga lagi ahli Parlimen PKR yang mendesak Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri pada Mei, bukannya selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik pada akhir tahun ini.
Bersama Leong malam tadi pada forum bertajuk “Perlukah Malaysia tunggu hingga November untuk peralihan kuasa?” ialah Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dan Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang. Turut hadir ialah Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi daripada DAP.
Leong berkata tidak boleh diterima apabila Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat melaksanakan semua janji manifesto.
“Itu yang rakyat undi dan itu yang kita mahu ingatkan Majlis Presiden dan mereka yang memutuskan supaya kita tunggu untuk berubah.
“Ini yang kita bangkitkan dan tidak ada beza apa yang berlaku dalam Barisan Nasional dan sekarang PH. Perubahannya hanya hapuskan rejim kliptokratik,” katanya.