Kerajaan ada idea tangani kelembapan ekonomi 2020
Kerajaan ada rancangan bagi mempertahan ekonomi negara sekiranya keadaan ekonomi global terus merudum tahun depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan mungkin mempertimbang untuk mewujudkan pakej rangsangan ekonomi sekiranya keadaan ekonomi global menjadi lebih lembap pada tahun depan, kata Menteri Kewangan .
Beliau berkata perkara itu pernah dibincangkan pada mesyuarat kabinet sebelum dan selepas pembentangan Belanjawan 2020.
“Sebenarnya saya pernah sebut bahawa kita akan berikan ruang sekiranya keadaan ekonomi dunia menjadi lebih lembap.
“Kita akan pastikan ruang untuk rancakkan ekonomi seperti mana disebut oleh (Menteri Dalam Negeri) Muhyiddin Yassin iaitu satu pakej rangsangan ekonomi.
“Ini memang sudah dibincangkan dan apa yang beliau (Muhyiddin) sebutkan memang tepat. (Perkara) ini akan kita bincangkan bersama,” katanya kepada pemberita seperti dilapor malaysiakini.
Mengulas selanjutnya, Lim berkata bagi Belanjawan 2020, kerajaan sudah pun mengumumkan pakej rangsangan mini menerusi e-dompet iaitu rakyat yang menjadi ahli insentif itu diberi RM30 (sekali bayar secara digital) untuk membeli-belah dalam usaha mengalakkan masyarakat tanpa wang tunai.
“Ini dianggarkan kira-kira RM500 juta dan ini pun satu pakej rangsangan. Jadi bila kita bincang dengan pihak swasta yang mungkin akan mengusahakan program ini (e-dompet), mungkin ada berita baik lagi. Jadi ini untuk dua bulan pertama dan mungkin ada lebih yang saya sebutkan RM500 juta untuk dibelanjakan rakyat.
“Sekiranya keadaan menjadi lebih lembap di peringkat dunia, maka kita ada ruang dan sudah buat persediaan,” katanya ketika ditanya mengenai saiz pakej rangsangan ekonomi yang boleh dipertimbangkan.