Surat terbuka kepada pengundi muda Tg Piai



Oleh Sheikh Umar Bagharib Ali
(Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Johor dan Adun Paloh)

Sungguhpun hanya sempat berkhidmat lebih kurang 17 bulan sebagai wakil rakyat, allahyarham Dr Md. Farid Md Rafik yang merupakan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai telah memberi khidmat yang terbaik dan telah meninggalkan satu legasi yang masih berbekas di hati para pengundi Tanjung Piai khususnya kepada golongan muda. 

Bekas ini tidak harus dipadamkan hanya sebilangan rakyat merasakan kerajaan PH masih bertatih untuk memberi khidmat yang terbaik kepada mereka. Saya mengakui sememangnya kelemahan pentadbiran kerajaan baharu ini wujud, tetapi kelemahan ini bersifat sementara kerana kita sedang berusaha memulihkan suatu kepincangan sistem yang telah berakar lama. Proses ini berlapis-lapis dan mengambil masa yang bukan sedikit.

Jika dilihat bagaimana kita boleh berada di sini pada hari ini, semua ini adalah suatu proses yang panjang. Seperti anai-anai yang memakan kayu di dalamnya. Hinggalah 9 Mei 2019, kita telah mengambil keputusan nekad untuk berubah. Dan ia bukan suatu keputusan yang singkat untuk kita ambil. Dengan keputusan ini juga, kita memerlukan masa untuk membina kembali rumah baharu kita. Kita mahu rumah yang bukan sahaja cantik, tetapi bersih dan kukuh.

Kita perlu sedari dan fahami bahawa kelemahan PH ini bukanlah berpunca daripada skandal rasuah seperti kerajaan BN yang lemah disebabkan oleh budaya rasuah yang menjalar dari atas hingga ke bawah. Perbezaan besar ini harus kita sedari dan berikan perhatian dengan serius. 

9 Mei 2018, rakyat Tanjung Piai telah menempa sejarah baharu yang sangat besar maknanya. Anak muda seperti arwah Dr Md Farid, adalah pejuang dari golongan muda yang bencikan rasuah. Kita rakyat Tanjung Piai juga bencikan rasuah. Kita rakyat Malaysia juga bencikan rasuah. Kita tolak BN kerana kita tolak rasuah. Kita perlu memberi mesej yang jelas ini kepada rakyat Malaysia bahawa perjuangan menolak rasuah akan terus bergema di Malaysia. 

Tanjung Piai akan menjadi medan pertunjukan kuasa anak-anak muda untuk terus menolak rasuah. Kita jangan padamkan semangat ini, kita perlu berjalan terus ke hadapan. 9 Mei 2019 adalah manifestasi yang bersejarah, kita boleh ulanginya lagi sebagai satu penegasan kepada negara bahawa kita mahukan Malaysia yang bersih dari rasuah yang akan menghancurkan bangsa, agama dan tanah air.

Buat seluruh anak-anak muda. Kita mungkin lemah kerana kita kurang pengalaman. Kurang pendedahan dan kurang pengetahuan. Semua ini akan berubah apabila kita fokus dan terus memperbaiki diri. Tetapi, janganlah kita semua lemah disebabkan rasuah, kerana apabila sekali kita membiarkan rasuah, kita akan menderita kembali seperti asalnya.