Ada dua perkara berbeza yang perlu difahami berhubung janji peralihan kuasa daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim yang berterusan menjadi perbualan ramai di sepanjang masa.
Pertama, janji yang telah disepakati dalam Majlis Presiden PH itu menetapkan Anwar adalah pengganti tunggal kepada Tun Mahathir.
Oleh kerana ia keputusan konsensus, bermakna janji itu turut dipersetujui oleh Tun Mahathir sendiri.
Anwar adalah satu-satunya nama yang dipersetujui untuk menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir dan tiada nama kedua atau ketiga yang dicadangkan sebagai simpanan.
Dalam erti kata lain, meski pun tiada tarikh bila peralihan kuasa mesti dilakukan, Anwar adalah satu-satunya penerima baton yang sah bagi kerusi Perdana Menteri daripada Tun Mahathir.
Nama-nama lain yang cuba dicadangkan, sama ada melalui pintu belakang atau pintu tepi, apalagi melalui tingkap, adalah tidak sah selagi PH yang menguasai kerajaan.
Kedua, di sebalik tiada tarikh peralihan kuasa dan tiada juga tempoh masa tertentu untuk Perdana Menteri ke-7 mentadbir negara yang termaktub dalam konsensus Majlis Presiden sebelum perlu menyerahkan jawatan itu kepada penggantinya, jangan lupa bahawa Tun Mahathir berkali-kali berjanji hanya mahu memenang kuasa buat kali kedua ini hanya untuk tempoh dua tahun saja.
Sebelum PRU14 diadakan, tempoh dua tahun itulah yang selalu disebut oleh Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri, tentu antaranya kerana mengambil kira usia beliau yang sudah 93 tahun ketika itu.
Selain itu, tambah Tun Mahathir lagi, dengan pengalaman selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri sebelum ini, tempoh dua tahun itu sudah memadai baginya untuk membaiki kerosakan dan memulihkan ekonomi negara yang ditinggalkan BN.
Dalam maksud yang mudah dan jelas, tempoh dua tahun itu adalah janji yang dilafazkan oleh tuan punya badan sendiri.
Maka, sementara isu peralihan kuasa terus menjadi pertikaian terutama kerana Tun Mahathir sendiri nampaknya tidak lagi berpegang kepada janji asal dua tahun yang kerap disebutnya sebelum ini, penyelesaian terbaik tentulah dengan kembali semula kepada di mana semuanya bermula sebelum ini.
Semuanya bermula dengan termaktubnya perjanjian peralihan kuasa yang secara jelas menyebut hanya Anwar sebagai pengganti dan pengisi jawatan Perdana Menteri ke-8 yang selepas itu diikuti dengan janji mulut Tun Mahathir untuk memegang kuasa selama paling lama dalam tempoh dua tahun saja.
Walaupun satu adalah janji bertulis dan satu lagi hanya janji mulut, kedua-duanya adalah janji yang dalam pengetahuan serta dengan persaksian Tuhan sebagai pencipta alam ini.
Kecuali bagi mereka yang mengutamakan dunia melebihi kehidupan abadi di akhirat, mungkin ada yang berani mengatakan janji mulut tidak salah untuk dimungkiri kerana tidak boleh dibawa ke mahkamah untuk diambil tindakan undang-undang, lebih-lebih lagi ia adalah janji politik semata-mata.
Tetapi, bagaimana dengan pengadilan di mahkamah akhirat nanti dan adakah janji politik tidak masuk dalam perbicaraan di hadapan Tuhan? (ShahbudinHusin 13/11/2019)