SPR SABOTAJ PH?



Apabila SPR tiba-tiba mengeluarkan ingatan agar semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai supaya memohon permit polis bagi kempen rumah ke rumah yang dijalankan,!persoalan utama ialah apakah tujuan peraturan itu dikeluarkan?
Ia bukan saja kerana ini pertama kali peraturan seperti itu dikeluarkan, tetapi yang lebih memusykilkan ialah sebab kempen PRK Tanjung Piai sudah pun di penghujung jalan sebelum pengundian pada 16 November ini.
Kenapa tidak dibiarkan saja peraturan lama berjalan dan syarat baru hanya akan dikuatkuasakan dalam PRK lain selepas ini?
Menurut Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, perjumpaan antara pegawai-pegawai SPR bersama dengan Ketua Polis Daerah Pontian serta pegawainya telah diadakan dan hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa pihak PDRM meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat kempen yang telah ditetapkan.
Katanya, termasuk kempen rumah ke rumah dan tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.
Tambah beliau, semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit dengan pihak polis.
Sementara itu, Polis Johor pula menegaskan, semua bentuk kempen dalam pilihanraya memang memerlukan permit polis.
Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din berkata, perkara itu dicapai selepas perbincangan dengan pihak SPR dan setelah mengambil kira kempen yang sudah berjalan sejak minggu lepas.
“Permit untuk kempen di bawah Seksyen 24B Akta Pilihan Raya 1958…di mana apa jua kempen yang dijalankan mesti mendapat permit oleh ketua polis daerah.
“Sama ada ceramah atau bentuk lain…Apa juga bentuk mesti dapat permit dari polis.
“Kita juga membuat beberapa tambahan dalam soal permit yang digariskan dalam seksyen itu. Ketua polis daerah dapat menambah syarat yang diperlukan untuk aspek-aspek keselamatan. Ia untuk memastikan kempen berjalan dengan selamat,” katanya ketika sidang media di IPD Pontian.
Tidak saja pembangkang yang membantah peraturan yang tiba-tiba dikuatkuasakan itu, dua bekas orang kuat SPR juga turut mempertikaikan dengan mengatakan ia agak keterlaluan dan mengusahkan.
Bekas Pengerusi SPR yang kini merupakan Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman dan bekas Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar nampaknya sependapat bahawa peraturan baru itu adalah keterlaluan, menyusahkan serta bercanggah dengan amalan demokrasi dan kebebasan dalam berkempen.
Realitinya, tidak seperti ceramah atau seumpamanya, kempen rumah ke rumah lebih berbentuk kunjungan peribadi antara calon atau wakilnya dengan pengundi.
Ia juga dilakukan di kawasan kediaman pengundi itu sendiri dan bukan di tempat yang terbuka.
Lebih daripada itu, kempen rumah ke rumah itu juga biasanya dilakukan berdasarkan kelapangan masa calon atau wakilnya dan tiada jadual khusus untuknya serta kadangkala dilakukan secara mengejut.
Dengan itu, keperluan memohon permit memang sesuatu yang menyusahkan parti atau calon yang bertanding.
Kalau pun SPR mahu menguatkuasakannya, ia bukanlah dilakukan di Tanjung Piai yang tempoh kempennya tinggal dua hari saja lagi, tetapi untuk PRK yang lain selepas ini.
Tetapi, oleh kerana peraturan ini sudah dikuatkuasakan dan SPR pun nampaknya berkeras melaksanakannya, sambil bertegas ia adalah peraturan keselamatan yang dikehendaki oleh pihak polis, mahu tidak mahu, bebannya akan ditanggung oleh PH sebagai kerajaan yang sedang memerintah dan turut bertanding di Tanjung Piai.
Ini kerana SPR berada di bawah kerajaan dan Azhar pula dilantik sebagai pengerusi badan pengendali pilihanraya itu sebaik saja selepas PH mengambil alih kerajaan daripada BN.
Sudah tentu, tanggapan umum ialah peraturan SPR itu dikuatkuasakan kerana adanya arahan daripada kerajaan, meskipun tidak semestinya itu yang benar-benar berlaku.
Maka itu, ditambah dengan pihak pembangkang memainkan isu tersebut dengan semaksimum mungkin sambil mengatakan SPR telah bersikap berat sebelah, rasa kebencian rakyat kepada kerajaan dengan sendirinya berjaya diluap-luapkan.
Ini kebetulan pula dengan calon PH, Karmaine Sardini kelihatan tiada masalah dengan peraturan baru SPR itu dan sedia mematuhinya serta laporan gerak kerja kempen BN lebih ke hadapan berbanding PH.
Malah, berbanding dengan pembangkang yang secara berjemaah membelasah SPR berkaitan peraturan baru ini, pemimpin kerajaan rata-rata hanya berdiam diri saja.
Apakah dalam hal ini, SPR secara tidak sengaja atau tidak cermat, telah mensabotaj PH dan memberi kelebihan kepada BN untuk menang di Tanjung Piai? (ShahbudinHusin 14/11/2019)