Kadir Jasin tegur menteri lebihkan kerja bukan politiking
Daripada terus bermain politik, penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin secara terbuka baru-baru ini menegur sikap beberapa menteri kabinet supaya lebih menumpukan perhatian kepada menangani derita rakyat.
Kadir mengingatkan bahawa mereka sewajanyar bekerja dan memberi tumpuan terhadap isu mendesak seperti penderitaan warga Felda, Felcra, nelayan, pesawah dan penoreh getah serta isu membangunkan ekonomi negara berbanding isu lain termasuk peralihan kuasa.
Jelasnya walaupun Perdana Menteri mungkin berulang kali berkata tiada rombakan Kabinet bakal dilakukan, ia bukan alasan untuk golongan itu duduk selesa meneruskan tindakan tidak tentu arah mereka.
“Mungkin ini cara Perdana Menteri mengatakan (kepada Kabinet) ‘mungkin lebih baik kamu semua perbaiki perangai masing-masing atau berundur apabila saya tiada lagi di sini untuk mempertahankan kamu’ tulis wartawan veteran itu dalam blog kadirjasin.blogspot.com.
Sebelum ini tular satu gambar seluruh anggota Jemaah Menteri yang diambil sebelum mesyuarat di Putrajaya. Ia menimbulkan tanda tanya apakah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bercadang membuat rombakan.
Dr Mahathir bagaimanapun menafikan khabar angin itu dan berkata beliau tidak nampak sebarang keperluan bagi rombakan dilakukan – RF8 Media