Adun Guar Chempedak keluar Umno
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak, Kedah Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail, 65, telah keluar Umno dan menjadi wakil bebas.
Speaker Ahmad Kassim mengumumkan keputusan Ku Abdul Rahman pagi ini.
Dengan keputusan Ku Abdul Rahman menjadi calon bebas, Umno kini hanya mempunyai dua orang Adun dalam DUN Kedah yang mempunyai 36 kerusi itu.
Adun tiga penggal itu sebelum ini adalah exco kerajaan negeri Kedah bawah pentadbiran BN dan bertanggungjawab ke atas portfolio pelaburan, industri dan perdagangan.
Beliau dilantik jadi exco apabila BN berjaya merampas Kedah daripada PAS pada pilihan raya umum 2013.
Pakatan Harapan pula mempunyai 18 wakil manakala seramai 15 Adun PAS berada dalam DUN Kedah.
Tiga hari lalu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu bersedia menerima Adun dan ahli Parlimen Umno dengan syarat mereka perlu menghapuskan tabiat lama mereka.
Kata perdana menteri, mereka perlu menghapuskan mentaliti “cash is king”.
“Kami (Bersatu) bukan parti ‘cash is king’, kami berjuang untuk bangsa, agama, dan tanah air,” katanya.
“Bersatu bukan untuk dimiliki sesiapa. Bersatu dikuasai perjuangannya.”
Video itu ditujukan menyentuh isu lebih ramai wakil rakyat Umno yang akan masuk Bersatu, selepas parti utama Barisan Nasional itu hilang enam wakil rakyatnya pasca Pilihan Raya Umum ke-14. BN kini hanya mempunyai 48 ahli Parlimen.
Daripada enam yang keluar, empat menjadi wakil rakyat bebas. Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed menyertai Bersatu dan Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli masuk Warisan Sabah.
Dr Mahathir turut berkata ahli Umno akan disaring sebelum diterima masuk Bersatu bagi memastikan budaya buruk Umno tidak menyerap masuk ke dalamnya.
“Kalau ada budaya pentingkan diri sendiri dan tempat kita, parti ini akan menjadi seperti Umno dan akan ditolak oleh rakyat,” katanya yang kali kedua menjadi perdana menteri Malaysia itu. –